Tiga Badan Dapat Pengiktirafan Kutip Royalti Artis

Diterbitkan: Rabu, 20 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dari kiri; Habsah Hassan, Sheila Majid dan Adrian Lim menunjukkan sijil pengiktirafan oleh kerajaan bagi membolehkan badan itu mengutip royalti untuk karyawan tempatan.
Dari kiri; Habsah Hassan, Sheila Majid dan Adrian Lim menunjukkan sijil pengiktirafan oleh kerajaan bagi membolehkan badan itu mengutip royalti untuk karyawan tempatan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memberi pengiktirafan kepada tiga badan yang bertanggungjawab soal kutipan royalti dan seterusnya dapat mengelak salah faham soal kutipan berkenaan melibatkan karyawan seni dan pelaku industri hiburan tanah air.

Ketiga-tiga badan itu ialah Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP), Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan Public Perfomance Malaysia Sdn Bhd (PPM).

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abd. Halim berkata, dengan pengiktirafan terbabit, ia diharap tidak berlaku kekeliruan siapakah pihak yang layak bagi menjalankan urusan berkenaan.

“Ketiga-tiga badan tersebut telah mendapat sijil pengisytiharan sebagai sebuah badan pelesenan daripada kerajaan untuk menjalankan kerja-kerja kutipan royalti.

“Entiti ini akan melaksanakan peranan mereka secara telus dan juga berintegriti untuk urusan agihan dan kutipan royalti kepada mereka yang layak menerimanya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis sidang media bersama melibatkan badan-badan berkenaan di Hotel Le Meridien di sini pada Selasa.

Turut hadir Pengerusi MACP, Habsah Hassan, Pengerusi PPM, Adrian Lim dan Pengerusi RPM, Datuk Sheila Majid.

Sebelum ini timbul kekeliruan soal kutipan royalti apabila Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (Prism Berhad) turut ditubuhkan bagi menjalankan fungsi yang sama.

Untuk rekod, MACP bertindak sebagai agensi pengutip royalti untuk komposer dan penulis lirik membabitkan 3,100 penulis tempatan serta dua juta komposer dan penulis asing seluruh dunia. Ia turut melibatkan 12 juta karya muzik.

RPM pula yang ditubuhkan hampir dua tahun lalu dianggotai kira-kira 250 ahli mewakili artis rakaman bunyi dan pemuzik sementara PPM adalah agensi yang berperanan menyediakan perkhidmatan kolektif untuk manfaat pengguna muzik dan syarikat rakaman di negara ini.

MACP mendapat perisytiharan tersebut pada September 2012 manakala PPM dan RPM masing-masing pada 6 Mac lalu oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Sehubungan itu Norman berkata, semua pihak haruslah memberi kerjasama termasuklah menyokong badan ini terutamanya di kalangan karyawan seni dan mereka yang berhak untuk mendapat royalti.

Sementara itu Sheila berkata, keanggotaan RPM yang dilihat agak sedikit itu bukanlah halangan untuk pihaknya menjalankan urusan berkenaan dan berharap mereka yang layak agar mendaftar sebagai ahli secepat mungkin bagi memudahkan soal kutipan dan agihan royalti.

Jelas Shiela, beliau akan memastikan RPM bukan sahaja bersifat telus terhadap amanah yang diberikan tetapi pelaksanaannya akan lebih sistematik agar ia selari dengan tahap piawaian kutipan royalti peringkat dunia.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan