Pasangan Kembar Juara 'Mimpi Ke Bintang'

Diterbitkan: Ahad, 17 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Syazwan dan Syazrul dinobatkan sebagai juara pertandingan Mimpi Ke Bintang musim pertama.
Syazwan dan Syazrul dinobatkan sebagai juara pertandingan Mimpi Ke Bintang musim pertama.

KUALA LUMPUR: Pasangan kembar, Mohd Syazwan Nizam Matusin dan Mohd Syazrul Nizam Matusin, 24, dinobatkan sebagai juara pertandingan terbitan RTM iaitu Mimpi Ke Bintang musim pertama pada malam Sabtu.

Syazwan dan Syazrul yang menubuhkan kumpulan Wan Rul Puppet berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 berserta trofi dan hadiah sampingan.

Mempertaruhkan persembahan berbentuk muzikal menggunakan boneka, pasangan daripada Sabah ini berjaya menarik perhatian juri dengan sketsa menarik menggunakan lagu-lagu penyanyi lagenda seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Mengulas kemenangan mereka, Syazwan berkata, mereka tidak menyangka dapat bergelar juara kerana sudah berpuas hati dapat melangkah ke peringkat akhir dan menganggap gelaran diberikan sebagai rezeki.

"Alhamdulillah kemenangan ini memang tidak disangka sehingga saya hampir pengsan apabila diumumkan sebagai pemenang," jelasnya ketika ditemui media selepas pertandingan di Auditorium Perdana, Angkasapuri di sini.

Mimpi Ke Bintang turut menobatkan kumpulan Roku Steps sebagai naib juara manakala The Siblings Band di tempat ketiga.

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah RM30,000 dan RM20,000 berserta trofi dan hadiah sampingan.

Dalam pada itu, Syazwan berkata, buat masa ini mereka tidak bercadang untuk meneruskan karier di Kuala Lumpur sebaliknya ingin kembali ke Sabah untuk mencipta nama di tempat asal mereka.

Jelas Syazwan, mereka mahu membina kerjaya di sana terlebih dahulu namun tidak menolak sekiranya mendapat tawaran di Kuala Lumpur.

"Rasanya kami ingin mencipta nama di Sabah terlebih dahulu tambahan pula sebelum ini kami memang sering membuat persembahan di majlis-majlis korporat dan ingin meneruskan karier sebagai pemain boneka.

"Duit kemenangan yang kami terima juga akan digunakan untuk membuka syarikat sendiri dan membeli lebih banyak boneka yang perlu ditempah khas dari Amerika Syarikat," jelasnya.

Sementara itu, Syazwan berkata, mereka mahu mempopularkan komedi dan sketsa menggunakan boneka di Malaysia memandangkan masih tidak ramai yang melibatkan diri.

Mula terlibat dengan komedi boneka sejak berusia 15 tahun, Syazwan memberitahu mereka mempelajari teknik suara menerusi laman Youtube dan latihan secara berterusan.

Pada acara malam itu, setiap peserta perlu membuat dua persembahan yang mana pada pusingan pertama mereka perlu memilih salah satu persembahan mingguan terdahulu dan satu aksi baru.

Ia dihoskan oleh Azad Jazmin, Linda Onn dan Datuk Fadzley sementara beberapa juri jemputan turut diundang seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Kavita Sidhu dan Dr Izani (Masterchef).

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan