Serina Redzuawan Buka Farmasi

Diterbitkan: Selasa, 12 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Serina bersama pengguna produk Anggun Serina. Foto:Facebook Serina
Serina bersama pengguna produk Anggun Serina. Foto:Facebook Serina

PETALING JAYA: Pelakon Serina Redzuawan mengakui tidak banyak mengambil tawaran lakonan pada ketika ini bagi memberi fokus kepada keluarga dan perniagaan yang diceburinya.

Serina, 30, berkata, setakat ini dia hanya sibuk dengan penggambaran drama Roda-Roda Kuala Lumpur (RRKL) kerana tidak mampu melakukan pelbagai kerja sekali gus lebih-lebih lagi dia baru sahaja membuka perniagaan farmasi di The Strand, di Kota Damansara di sini.

"Memang saya tak dapat nak lakukan semua perkara dalam satu masa, tetapi tetap cuba membahagikan waktu dalam menjaga keharmonian keluarga serta menguruskan perniagaan.

"Alhamdulillah, saya baru sahaja membuka farmasi Cosway dan ia akan dilancarkan pada April depan," katanya kepada mStar Online pada Isnin.

Tambah anak kepada tukang masak selebriti Datuk Chef Wan ini, dia melihat perniagaan farmasi mampu menjana pendapatan malah dia juga mengajak para selebriti lain menyertai perniagaan tersebut.

"Dalam perniagaan ini, saya juga diberi kursus kerana ia melibatkan jenis-jenis makanan tambahan termasuklah ubat-ubat kawalan selain barangan kegunaan harian yang lain.

"Sehingga kini ada beberapa rakan selebriti menyertainya seperti Saiful Apek, Louisa Chong dan penjaga gol bola sepak negara, Apek dan isterinya Leuniey," ujarnya.

Serina turut mengeluarkan produk kecantikan dan kesihatan iaitu Anggun Serina. Ia merupakan sebuah produk khas buat wanita yang menjaga kecantikan luaran dan dalaman.

"Produk ini mengandungi kolagen dan glutation (antioksida) yang boleh membersihkan kulit wajah selain mencerahkan. Menarik lagi ia turut mengandungi Kacip Fatimah bagi menjaga tubuh badan dalaman wanita," tuturnya.

Dalam pada itu, Serina berkata, dia bersyukur apabila suaminya, Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islam Salahudin Ghafar turut memberi sokongan dalam kerja-kerja yang dilakukannya.

Malah, Salahudin cukup memahami apabila Serina tidak dapat meluangkan masa bersamanya atau menyediakan makanan harian buat suaminya itu.

"Saya sangat bersyukur apabila suami memberi lampu hijau untuk melakukan dua perniagaan ini. Malah apabila saya pulang ke rumah dalam keadaan yang penat, dia pula suruh saya berehat dan tidak perlu memasak atau melakukan apa-apa kerja rumah.

"Bagaimanapun, sebagai isteri, saya tetap menjalankan tanggungjawab sebagai isteri selagi boleh. Malah saya turut meluangkan masa sekurang-kurangnya empat jam setiap hari bersama anak-anak," katanya.

Pasangan itu turut memiliki dua orang cahaya mata iaitu Tristan Tareef, 3, dan juga Isabella Saffiya, yang berusia setahun.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan