Que Haidar Pilih 4 Pengarah Sahaja

Diterbitkan: Isnin, 11 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Que Haidar (kiri) bersama isterinya, Linda Jasmine serta anak mereka, Ratu.
Que Haidar (kiri) bersama isterinya, Linda Jasmine serta anak mereka, Ratu.

PETALING JAYA: Pelakon Que Haidar hanya memilih empat pengarah hebat iaitu Mamat Khalid, U-Wei Saari, Dain Said dan Wak Khalid sekiranya ditawarkan untuk berlakon filem.

Que berkata, empat pengarah itu merupakan antara yang digemarinya kerana kreativiti yang dimiliki mereka dalam setiap filem yang dihasilkan.

"Memandangkan pelibatan saya dalam lakonan sangat kurang, jadi saya senang dengan bersikap memilih.

"Tawaran yang diberi hanya akan saya terima jika filem itu diarahkan oleh Mamat Khalid, U-Wei Saari, Dain Said dan Wak Khalid. Mereka sangat kreatif dalam mengembangkan plot cerita dan watak," katanya.

Tambah Que yang sebelum ini pernah menyatakan hasratnya untuk bersara di bidang lakonan, dia kini sedang membuka ruang kepada dirinya untuk mendalami watak-watak yang belum pernah dibawakannya sebelum ini.

"Mungkin ia kedengaran seperti angkuh. Tetapi saya mahu sesebuah watak yang diberi benar-benar memberi kesan terhadap kredibiliti saya," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai perkembangan terbaharunya, Que berkata dia kini sibuk dengan pengajaran kelas-kelas lakonan menerusi bengkel-bengkel yang dianjurkan.

Selain itu Que juga banyak membantu isterinya, Linda Jasmine, dalam menguruskan kerja-kerja persembahan.

"Sekarang ini saya dan isteri saling berbahagi kerja. Selain menguruskan studio tarian isteri di Ampang, saya juga mengadakan beberapa bengkel lakonan buat anak-anak muda yang berminat.

"Selain itu, saya juga sibuk menghadiri pelbagai undangan untuk memberi ceramah bagi pelajar-pelajar jurusan seni persembahan.

"Alhamdulillah, kerja-kerja ini sudah menjadi keutamaan saya manakala lakonan pula lebih ke arah hobi," tuturnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan