Kabinet Lulus Skim Insuran Bantu Seniman

Diterbitkan: Isnin, 11 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Rais Yatim
Rais Yatim

KUALA LUMPUR: Kabinet meluluskan skim insurans bagi warga seniman dalam membantu memajukan industri hiburan tanah air, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata pemberian ihsan bagi membiayai insurans kemalangan diri dan hayat berkelompok itu dibuat hasil kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Katanya ketika ini, proses mengumpul data dan maklumat mengenai seniman yang ada di negara ini sedang dilakukan sebelum skim itu dilaksanakan.

"Kita juga akan berjumpa dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) (yang ada kaitan dengan industri hiburan) untuk jelaskan skim ini kepada mereka.

"Ini merupakan sebahagian tanda penghargaan kerajaan kepada seniman," katanya selepas melancarkan pembukaan semula Pawagam Lotus Five Star di sini pada Isnin.

Selain pelakon, penyanyi dan pelawak, skim itu antara lain melibatkan golongan pelukis, penulis, pengukir dan pekerja belakang tabir.

Kesemua mereka akan mendapat perlindungan kira-kira RM1,000 hingga RM4,000 bergantung kepada golongan masing-masing.

Rais berkata satu jawatankuasa khas turut ditubuhkan bagi memberi tumpuan khusus dan melicinkan perjalanan skim ini.

Sebelum ini, pada 11 November lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta kajian semula dibuat berhubung struktur industri hiburan yang tidak memberi pulangan adil kepada artis tanah air.

Najib berkata beliau akan meminta kementerian yang terlibat supaya mengemukakan cadangan bernas untuk membantu kerajaan membuat keputusan bagi membantu mewujudkan industri hiburan yang adil dan seimbang. Difahamkan ketika ini terdapat lebih 5,000 seniman di negara ini.

Sementara itu Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Rozaidi Jamil yang juga dikenali sebagai Zed Zaidi yang turut hadir di majlis itu menyambut baik langkah kerajaan yang disifatkan prihatin dan menjaga kebajikan warga seniman.

"Kita terkejut kerana usul kita supaya diwujudkan insurans khas kepada seniman diterima dan diluluskan kerajaan. "Kita tiada SOCSO (skim insurans sosial Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso), sebab itu kita minta insurans ini sebagai ganti perlindungan diri warga seniman," katanya.

Beliau berkata usul lain yang dikemukakan kepada kerajaan sebelum ini adalah permohonan bantuan di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan penggunaan cermin gelap kereta untuk semua ahli Seniman. Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai status penangguhan penayangan filem Tanda Putera dan kemungkinan ada pihak yang menayangkannya, Rais berkata Jemaah Menteri masih memutuskan supaya filem itu ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.

Beliau berkata mana-mana pihak yang ingin menayangkannya perlu berjumpa dan berbincang dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

"Jika mereka ingkar, bermakna mereka tidak mematuhi keputusan kerajaan," katanya.

Sebelum ini Jemaah Menteri memutuskan supaya filem tersebut ditangguhkan kerana terdapat babak yang tidak bersesuaian dan dikhuatiri boleh menimbulkan konflik di kalangan masyarakat di negara ini.

Filem sejarah itu memaparkan kisah perdana menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman memulihkan negara susulan peristiwa 13 Mei 1969.

Di majlis itu, Rais turut menyampaikan dana bantuan kepada 25 persatuan yang terlibat dalam bidang industri kreatif di peringkat kebangsaan dan negeri dalam kategori perfileman, kraf, muzik dan teater, seni visual, fesyen dan tekstil, penulisan, persilatan, sejarah, warisan dan pengiklanan. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan