Suara Latar Selebriti Hidupkan 'Bola Kampung The Movie'

Diterbitkan: Khamis, 7 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Barisan para artis yang terlibat dalam Bola Kampung The Movie.
Barisan para artis yang terlibat dalam Bola Kampung The Movie.

KUALA LUMPUR: Penggunaan suara latar selebriti tanah air dalam sesebuah watak menerusi filem Bola Kampung The Movie dapat menghidupkan lagi sesebuah karakter dalam animasi berkenaan.

Pengarah Urusan Animasia Studio Sdn Bhd, Edmund Chan berkata penglibatan selebriti tanah air adalah sesuatu yang menakjubkan apatah lagi filem tersebut dihasilkan dalam bentuk imej janaan komputer (CGI).

"Projek ini telah disertai oleh lebih 100 bakat tempatan dan akan dipersembahkan dalam format imej Janaan Komputer (CGI) yang terbaru dan menakjubkan.

"Lebih istimewa lagi, setiap karakter dalam filem ini diberikan ‘nyawa’ melalui suara-suara yang dipinjamkan oleh pelakon, penyanyi, pengacara TV dan komposer popular tempatan," katanya pada sidang media selepas Pratonton Filem Animasi Bola Kampung The Movie, di The Garden, Mid Valley, di sini, Rabu.

Antara barisan artis yang terlibat adalah Datuk Aznil Nawawi, Ezlynn, Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Aizat Amdan, Marsha, Harris Alif, Baki Zainal, Noh (Hujan), Deanna Yusoff dan Douglas Lim.

Tambah Edmund, pemilihan mereka adalah melalui uji bakat suara yang dibuat mengikut kesesuaian karakter yang terdapat dalam filem itu.

"Kita adakan uji bakat untuk mengenal pasti suara-suara yang layak mengikut karakter yang ada dalam filem ini.

"Kesemua mereka yang dipilih memang dapat melakukannya dengan baik dan tidak menimbulkan sebarang masalah," katanya.

Filem terbitan Animasia Studio ini menelan belanja hampir RM6 juta dan mengambil masa lebih empat tahun untuk proses pembikinannya bagi mendapatkan hasil yang berkualiti.

"Kami ambil masa yang agak lama bagi memastikan kualiti filem ini bertaraf antarabangsa kerana kami akan membawa filem ini ke Indonesia, Kemboja dan Rusia.

Sementara itu, Noh yang berperanan sebagai Dino mengakui pengalaman pertamanya dalam bidang animasi ini sangat memberi kepuasan kepadanya.

"Saya seorang peminat cerita animasi, peluang ini saya gunakan untuk melihat lebih dekat lagi proses pembikinannya dan secara tidak langsung ia dapat beri kepuasan dalam diri saya," katanya.

Bagi Ezlynn, niat hanya untuk mencuba nasib datang uji bakat itu memberi pengalaman baru baginya.

"Saya tidak sangka terpilih kerana niat saya hanya untuk cuba-cuba sahaja, lagi pula watak itu adalah karakter budak lelaki dan cabarannya ialah saya perlu ambil ‘mood’ untuk keluarkan suara budak lelaki itu," ujar Ezlynn.

Filem animasi Bola Kampung The Movie ini mengisahkan Amanda, seorang puteri dari dunia maya "Kingdom Hill" yang telah dihantar ke Kampung Gong Lechar untuk mendapatkan bantuan bagi menyelamatkan King Dom Hill yang diserang virus.

Amanda bertemu dengan wira-wira bola kampung iaitu Iwan, Azizul, Sabok, Kumar dan kawan-kawan yang membantunya menghapuskan virus tersebut.

Iwan, Sabok dan Azizul kemudian memasuki dunia maya, Kingdom Hill dalam usahakan menyelamatkan negara tersebut yang ditakluki Lord Vilus.

Filem animasi ini akan mula ditayangkan di pawagam bermula 21 Mac ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan