Izzue Islam Pernah Hidup Merempat Untuk Jadi Artis

Diterbitkan: Selasa, 19 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Izzue Islam (tengah) bersama gandingan pelakon dalam drama Bunga Merah Punya.
Izzue Islam (tengah) bersama gandingan pelakon dalam drama Bunga Merah Punya.

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi Izzue Islam mendedahkan pernah hidup merempat semata-mata untuk mengejar impiannya bergelar seorang bintang.

Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 23, berkata, semasa berhijrah ke Kuala Lumpur sekitar tahun 2009, dia bersama rakan-rakannya sanggup tinggal di kedai 'bundle di Kelana Jaya, Selangor sebelum meneruskan hidup.

"Memang empat tahun lalu, kehidupan saya tak semudah sekarang. Dari kampung saya di Kelantan, saya berhijrah ke ibu kita dan pernah merasai hidup di jalanan bagi mengejar cita-cita untuk bergelar anak seni.

"Alhamdulillah, kesukaran itu telah memberi pengalaman buat saya untuk menjadi seorang insan yang lebih bagus dan tidak riak, Insya-Allah," katanya.

Izzue ditemui pada pelancaran drama Bunga Merah Punya, terbitan Suhan Movies & Tradings Sdn Bhd di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), dekat sini, Isnin.

Bercerita mengenai kehidupannya sekarang, Tambah Izzue, walaupun hidupnya semakin teratur bersama kumpulan, Forteen, dia masih lagi mengamalkan cara hidup yang diamalkan sebelum ini iaitu tidur tanpa alas tilam.

"Memang sampai sekarang saya tidur tanpa tilam dan hanya beralaskan kain biasa sahaja. Diharap, dengan kesusahan lalu dapat mengajar saya untuk terus berusaha menjadi anak seni yang berjaya Insya-Allah," ujarnya.

Dalam pada itu, pengalaman lampaunya itu turut dikongsi dalam lakonannya menerusi drama Bunga Merah Punya.

Memegang peranan sebagai Merah, drama itu mengisahkan perjalanan hidupnya yang sering ponteng sekolah dan dimarahi datuknya, Tok Bain.

Akibat ingin hidup bebas, Merah menjalani rutin harian di jalanan dan mencari rezeki menyanyi di kaki lima bersama rakan-rakan.

"Menarik lagi tentang drama ini, ia berunsur muzikal sedikit. Sebanyak 15 buah lagu hasil ciptaan Zul Huzaimy terdapat dalam drama ini ," katanya.

Bunga Merah Punya yang diarahkan oleh Zul Huzaimy ini disiarkan menerusi slot Aurora yang bersiaran setiap Khamis, pukul 8.30 malam di TV9. Ia akan disiarkan bermula Khamis ini.

Selain Izzue, drama bersiri 13 episod turut menampilkan Sharifah Sakinah, Sura Sojangi, Shazwan Zulkifli, Nasir Bilal Khan dan Hasnul Rahmat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan