BELASUNGKAWA: Yahya Sulong Tak Kesal Jadi Pelakon Biarpun Susah

Diterbitkan: Khamis, 7 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Gambar fail Yahya Sulong tabah walaupun nasibnya sering dihimpit kesusahan.
Gambar fail Yahya Sulong tabah walaupun nasibnya sering dihimpit kesusahan.

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak veteran Allahyarham Datuk Yahya Sulong, tidak pernah menyesal menjadi pelakon walaupun kehidupannya bersama isteri Datin Alisah Ali dihimpit kesusahan.

Menurut rakannya pelakon Hazimah Haroon, Allahyarham yang telah meninggal dunia kira-kira pukul 6.45 petang Rabu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tidak pernah menganggap kesusahannya itu berpunca daripada karier lakonan yang disertai tetapi menerima ia sebagai dugaan tuhan yang perlu dilaluinya.

"Dia seorang yang sangat tabah dan tidak pernah merungut walaupun keadaannya agak susah. Sebaliknya dia pula yang menghiburkan rakan-rakan agar tidak bersedih.

"Bagi saya, dia antara manusia yang baik pernah saya jumpa. Dahulu, kami selalu makan nasi lemak bersama rakan-rakan artis lain di Ampang Park (di sini).

"Kehilangannya benar-benar membuatkan kami terasa. Semoga rohnya dirahmati Allah, Insya-Allah," katanya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa, Biro Kebajikan Persatuan Seniman Malaysia.

Yahya, 85, meninggal dunia akibat mengidap komplikasi pelbagai penyakit termasuklah asma sejak sekian lama dan pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana penyakitnya itu termasuklah ke Unit Rawatan Rapi, Hospital Ampang selepas terjatuh di bilik air rumahnya di Flat Sri Perak, Bandar Baru Sentul dekat sini.

Lebih menyedihkan, Yahya dan Alisah, 64, tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya mengharapkan bantuan daripada Baitulmal sebanyak RM400 sebulan serta dan wang pencen salah seorang arwah isteri Yahya sebelum ini iaitu dalam jumlah yang sama.

Wang sebanyak RM800 itu digunakan untuk membeli makan minum serta keperluan ubat-ubatan Yahya yang semakin uzur. Alisah juga turut mengalami keuzuran apabila disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat.

Bakat istimewa

Pelakon veteran Harun Hashim pula menyifatkan Allahyarham seorang lelaki yang tidak pernah menyusahkan orang terutamanya apabila melibatkan kerja-kerja lakonan.

Harun yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham menerusi sebuah teater bangsawan berkata, Yahya mempunyai bakat yang istimewa di mana dia tidak perlu diajar apa yang patut dilakukan ketika beraksi di pentas bagi melakonkan sesebuah watak.

"Persembahan yang dibawakan Allahyarham amat mengagumkan tanpa perlu diajar. Sebaliknya dia pula yang mengajar orang sekeliling menerusi perbuatan lakonannya.

"Dia juga tidak pernah putus bercerita mengenai karier dan sentiasa memberikan idea-idea menarik, mencantikkan lagi jalan cerita filem atau teater yang dilakonkan" kata Harun.

Dalam pada itu, pelakon Abu Bakar Omar berkata, walaupun tidak terlalu akrab dengan Allahyarham, namun dia membuatkan orang yang baru mengenalinya selesa berbual dengannya.

"Malah, dia tidak pernah putus-putus memberikan nasihat mengenai karier dan kehidupan. Saya berharap sangat agar jasanya sebagai seorang pelakon hebat dikenang sampai bila-bila," tuturnya.

Sepanjang penglibatan Allahyarham dalam dunia seni, beliau banyak berlakon filem dan drama antaranya Abu Nawas, Gila-Gila, Putus Sudah Kasih Sayang, Da Di Du dan Prebet Lapok.

Yahya juga pernah bertugas dalam pasukan polis pada tahun 1948 bagi menentang komunis.

Pada tahun 2009, Yahya telah menerima gelaran 'Datuk' oleh Kerajaan Negeri Perlis, namun ditentang isteri kerana menganggap ia tidak sesuai dengan kehidupan mereka yang susah itu tetapi Yahya tetap berdegil dan menerimanya tanpa pengetahuan isteri.

Bagaimanapun pelakon itu menganggap gelaran yang diberikan adalah untuk mengenang jasanya sebagai anggota keselamatan yang berkhidmat mempertahankan negara pada tahun 1948 dan bukan atas kapasiti seorang artis.

Yahya pernah berkahwin sebanyak empat kali dan mempunyai 11 orang anak, enam cucu dan dua cicit.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan berdekatan pusara salah seorang isterinya di Teluk Intan, Perak.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan