YA1M Agih RM2,000 Kepada 130 Artis Veteran

Diterbitkan: Rabu, 6 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Penganjur dan para artis yang menerima sumbangan daripada peruntukan Yayasan Artis 1 Malaysia.
Penganjur dan para artis yang menerima sumbangan daripada peruntukan Yayasan Artis 1 Malaysia.

KUALA LUMPUR: Seramai 130 artis veteran yang berumur 60 tahun ke atas dari pelbagai bangsa telah menerima sumbangan wang ihsan menerusi Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) berjumlah RM2,000 setiap seorang bersempena sambutan Tahun Baru Cina yang akan disambut 10 Februari ini.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata, sumbangan itu diberikan sebagai penghormatan perkhidmatan dan jasa mereka dalam industri seni tanah air.

"Ucapan terima kasih harus diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta khas buat golongan artis menerusi YA1M.

"Ini adalah misi sebenar YA1M bagi membantu meringankan beban golongan artis veteran yang mempunyai masalah seperti penyakit, kesempitan hidup dan sebagainya.

"Sumbangan yang dibuat pada hari ini diharap dapat meringankan beban mereka bersempena dengan Tahun Baru Cina yang bakal disambut tidak lama lagi," ujarnya ketika merasmikan majlis tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Selasa.

Tambah Maglin, pihak kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh penggiat seni dan akan terus bekerjasama dalam membantu dari aspek kebajikan dan pembangunan industri hiburan tempatan.

Antara artis yang menerima sumbangan itu adalah Datuk Jamil Sulong, Datuk Ahmad Nawab, Datuk David Arumugam, Aspalela Abdullah, Fauziah Nawi, Yap Chin Fong, Charles Ambrose, Gopal Doraisamy, Accapan dan Lai Meng.

Dalam pada itu, Presiden YA1M, Datuk DJ Dave berkata, sumbangan itu bukan sahaja kepada mereka yang berumur 60 tahun ke atas tetapi juga diagihkan kepada artis yang diserang penyakit, kematian dan ditimpa masalah.

DJ Dave berkata, pihaknya telah berusaha sedaya mungkin bagi menjejaki artis-artis veteran yang layak meraih dana tersebut dan mengalu-alukan penglibatan persatuan lain untuk bekerjasama dengan mereka pada masa hadapan.

"Masalah timbul apabila ada artis yang telah bertukar alamat dan tidak dapat dihubungi.

"Pihak persatuan lain dialu-alukan untuk menjejaki dan memberi usul untuk membantu mereka dengan berhubung terus pihak YA1M," katanya.

Jelasnya lagi, pihaknya juga telah merangka pelbagai aktiviti untuk tahun 2013 bagi mendapatkan dana daripada badan korporat dan sekali gus dapat meneruskan usaha murni mereka membantu golongan artis yang kurang bernasib baik tanpa terlalu bergantung harap kepada kerajaan.

Terdahulu, DJ Dave berkata, pihaknya sebelum ini telah menyampaikan sumbangan kepada 110 artis sebanyak RM2,000 seorang pada majlis yang berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) pada 4 Januari lalu.

Antara artis yang telah menerima sumbangan itu adalah Mariani, Sofea Ibrahim, Datuk Aziz Singah, Hamid Gurkha, Tamam Idris, Zaiton Sameon dan Ruminah Sidek.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan