'Kerat 14' Tiada Kaitan Kisah Pembunuhan Sebenar

Diterbitkan: Khamis, 31 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Arjin (tiga dari kiri) bersama barisan pelakon filem Kerat 14.
Arjin (tiga dari kiri) bersama barisan pelakon filem Kerat 14.

PETALING JAYA: Jalan cerita filem suspens, misteri dan aksi iaitu Kerat 14 tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kejadian bunuh yang pernah berlaku di negara ini.

Pengarahnya, Arjin Uppal berkata, skrip dan penceritaan filem berkenaan dihasilkan hanya berdasarkan imaginasi yang diterjemahkan dalam bentuk hiburan semata-mata.

"Tidak benar jika ada yang mengatakan filem ini berdasarkan mana-mana kisah benar kerana ia adalah fiksyen semata-mata malah jalan ceritanya pun tidak sama dengan mana-mana kes pembunuhan yang pernah berlaku di negara ini," ujarnya ringkas selepas ditemui pada tayangan perdana filem tersebut di sini pada Rabu.

Kerat 14 mengisahkan pembunuhan kejam seorang lelaki oleh sepasang kekasih lakonan Aaron Aziz dan Siti Saleha secara tidak sengaja sehingga menyebabkan mayat berkenaan dipotong kepada 14 bahagian.

Filem tersebut bakal ditayangkan di pawagam pada 14 Februari depan.

Pada 1993, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam, Datuk Mazlan Idris telah dibunuh dengan kejam di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, Pahang selepas mengadakan pertemuan dengan pasangan bomoh Maznah Ismail atau lebih dikenali dengan nama Mona Fandey dan suaminya, Mohd Affandi Abdul Rahman serta pembantu mereka, Juraimi Husin.

Penemuan mayat Mazlan yang dikerat kepada 18 bahagian dan ditanam di dalam sebuah lubang sebelum disimen membawa kepada penahanan pasangan bomoh berkenaan.

Ia disifatkan sebagai kes pembunuhan paling ngeri dan kejam dalam sejarah negara.

Dalam pada itu, Arjin berkata, pihaknya telah melakukan rombakan skrip sebanyak enam kali selepas mengadakan perbincangan dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar ia tidak melanggar sebarang etika.

Menurut Arjin, filem berkenaan yang turut mendapat kerjasama PDRM itu peru dibuat dengan berhati-hati supaya sebarang fakta melibatkan agensi itu digunakan dengan tepat.

"Filem ini ada melibatkan siasatan polis, cara mereka bekerja dan sebagainya jadi kami mahu ia dilakukan dengan teliti supaya tiada sebarang kesalahan fakta terutama dari segi perundangan dan peraturan," jelasnya.

Bagaimanapun kata Arjin, pihak PDRM tidak mencampuri aspek lain dan cuma memberi pandangan terhadap perkara yang melibatkan agensi itu sahaja.

Sementara itu, Arjin memberitahu, pihak Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) juga tidak melakukan sebarang pemotongan terhadap karya pertamanya itu.

"Saya gembira dengan hasilnya dan semua yang dilakukan telah mendapat kelulusan daripada LPFM," katanya.

Tambah Arjin, dia juga gembira dengan kerjasama semua pelakon dan krew produksi untuk menjayakan filem yang menelan kos sebanyak RM1.8 juta itu.

Kerat 14 turut dibintangi oleh Zamarul Hisham, Arash Mohamad, Ali Arami, Fouziah Gous dan Arora Salwa.

iklan

Video

Selasa, 25 November 2014 1:00 PM

Sejauh Mana Anda Tahu? (Bahagian 2)

Selasa, 25 November 2014 8:48 PM

Ahli Geng Mamak Ditembak Mati

Isnin, 24 November 2014 8:01 PM

Sejauh Mana Anda Tahu? (Bahagian 1)

Rabu, 19 November 2014 12:15 AM

Izreen Azminda Mahu Padam Kenangan Lalu

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan