‘Beli Lagu Letak Nama Sendiri Itu Fitnah’ - Amran Ismail

Diterbitkan: Selasa, 29 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Amran Ismail tetap mempertahankan pendirian lagu Ini Janjiku nyanyian dan ciptaannya adalah tulen dan bukan diciplak dari mana-mana karya walaupun ia nyata mempunyai persamaan dengan lagu I Heart You nyanyian kumpulan Smash dari Indonesia.

Amran atau nama sebenarnya Md Amran Ismail, 28, berkata, lagu itu diilhamkan ketika dia berlakon dalam drama Cinta Buat Emelda tidak lama dulu.

Persoalan yang timbul bagaimana Amran yang tidak mempunyai pengetahuan muzik boleh mencipta lagu selain ada desas-desus mengatakan dia membeli karya berkenaan daripada seseorang sebelum mendakwa lagu berkenaan adalah nukilannya.

“Memang lagu itu saya cipta sendiri. Saya juga tidak menyedari ia ada persamaan dengan lagu kumpulan Smash. Saya pun tak kenal kumpulan itu,” katanya kepada mStar Online apabila diminta menjelaskan isu berkenaan.

Amran turut memberitahu dia mahu berbincang dengan syarikat rakaman Warner Music Malaysia selepas syarikat rakaman itu berhasrat mengambil tindakan terhadapnya kerana karya itu terang-terangan meniru lagu I Heart You.

Ikuti penjelasan Amran kepada mStar Online berhubung isu terbabit.

Bagaimana anda hasilkan lagu tanpa pengetahuan/ilmu muzik?

Memang saya tiada ilmu muzik. Saya dapat ilham buat lagu itu menerusi teknik humming bukan gitar atau alat muzik lain. Ilham datang ketika penggambaran drama bersiri Cinta Buat Emelda pada tahun lalu. Daripada situ, saya minta bantuan rakan untuk gubah muziknya, manakala lirik saya hasilkan juga. Cuma, saya berkesempatan untuk lancarkan ia pada baru-baru ini.

Reaksi anda apabila dituduh menciplak lagu kumpulan Smash?

Saya akui terperanjat dengan kontroversi itu tetapi terus-terang saya tidak pernah mendengar lagu kumpulan tersebut. Saya tidak berani cakap banyak kerana lagu itu dihasilkan tanpa pengetahuan mengenai kewujudan lagu Smash. Mungkin ia sekadar kebetulan dan saya enggan komen lanjut.

Anda didakwa tidak boleh menyanyi secara langsung. Apa komen anda?

Isu boleh menyanyi atau tidak bukan persoalannya. Kita sudah ada kecanggihan teknologi jadi apa salahnya kita memanfaatkan kemudahan itu. Bukan satu kesalahan pun saya gunakan bantuan teknologi. Takkan kita nak melekat di takuk lama, muzik sudah berubah dan pembaharuan perlu diberikan sedikit sebanyak. Apa-apa pun, setiap kritikan saya terima seadanya.

Timbul dakwaan kononnya anda ditaja oleh ahli perniagaan berpangkat Datuk untuk projek lagu itu?

Penerbitan lagu itu tidak memakan kos yang tinggi tetapi mengikut kemampuan saya. Benar ada pembabitan seorang Datuk tetapi beliau bukan menaja saya tetapi sekadar menganjurkan majlis pelancaran itu sahaja. Beliau yang saya anggap seperti pakcik sendiri hanya bantu secara kecil-kecilan sahaja.

Ada sumber mendakwa lagu Ini Janjiku bukan ciptaan anda tetapi dibeli daripada seorang komposer?

Itu fitnah. Saya merujuk kepada komposer itu untuk memperkemaskan lagu berkenaan daripada aspek komposisi muzik dan lirik, manakala selebihnya adalah idea saya sepenuhnya.

Harapan anda mengenai kontroversi yang timbul.

Saya berharap isu ini segera diselesaikan dengan cara baik. Saya tidak marah pada sesiapa walaupun terkilan dengan tuduhan yang timbul. Semoga semuanya kembali pulih seperti sedia kala kerana setiap masalah ada penyelesaiannya.

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan