Ibu Minta Liyana Jasmay Banyak Berdoa Selepas Jadi Isteri

Diterbitkan: Khamis, 17 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Liyana Jasmay
Liyana Jasmay

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay meminta petua daripada ibunya, Datin Habsah Simpon mengenai cara-cara untuk menjaga keharmonian alam rumah tangga yang bakal dilaluinya tidak lama lagi.

Liyana, 24, yang akan bernikah dengan usahawan, Fathuddin Mazlan, 28, berkata, ibunya telah memberikan pelbagai nasihat selain dia perlu berdoa demi kebahagiaan perkahwinan.

"Sebagai seorang anak perempuan, semestinya saya akan meminta pandangan atau nasihat daripada ibu tentang alam perkahwinan.

"Saya bertanyakan tentang bagaimana cara-cara untuk bertolak ansur dan bagaimana nak kekalkan perhubungan dengan penuh rasa cinta.

"Ibu juga berkata yang saya sebagai isteri mestilah berdoa selalu untuk suami, perkahwinan kami serta keluarga. Itu antara yang paling penting," katanya ketika dihubungi mStar Onlinedi sini pada Rabu.

Majlis akad nikah di antara Liyana dan Fathuddin akan berlangsung di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur pada 2 Februari depan kira-kira pukul 9.30 pagi manakala majlis persandingan pula akan diadakan pada sebelah malamnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Pasangan itu akan menggunakan khidmat pereka fesyen Jovian Mandagie untuk persalinan majlis pernikahan dan resepsi.

Pelakon filem Papadom itu menambah, dia juga berhasrat untuk menghasilkan sebuah drama atau telefilem berkenaan kisah cintanya dengan Fathuddin menerusi syarikat produksi miliknya iaitu Mermaid Studios.

"Saya nak sangat kongsi kisah hubungan kami menerusi telefilem. Insya-Allah ia akan di terbitkannya satu hari nanti.

"Apa-apa pun selepas kahwin, saya akan berdebar menantikan kemunculan tiga filem lakonan saya pula yang akan ditayangkan pada tahun ini iaitu Papadom 2, Tokan dan Isyarat Cinta," ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan