Kemelut FFM25 : Gafim Minta Karyawan Tidak Campur Tangan

Diterbitkan: Jumaat, 11 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Freddie Fernandez (kiri) dan Jurey perlu menyelesaikan kemelut diantara mereka berhubung isu FFM25.
Freddie Fernandez (kiri) dan Jurey perlu menyelesaikan kemelut diantara mereka berhubung isu FFM25.

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Karyawan Malaysia (Gafim) ingin mengetahui motif sebenar Datuk Freddie Fernandez mempertikaikan kepimpinan persatuan itu menerusi media baru-baru ini.

Presidennya Jurey Latiff Rosli berkata, kenyataan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) itu menimbulkan perasaan curiga kepada pihaknya kerana Freddie tidak pernah campur tangan atau terlibat dalam penganjuran Festival Filem Malaysia sepanjang 24 kali ia diadakan.

"Apa motif dan agenda dia mempertikaikan kami secara tiba-tiba? Adakah ada pihak lain di belakang yang menyuruh dia mengeluarkan kenyataan 'bantai' Gafim?

"Sudah 24 kali FFM dianjurkan dia (Freddie) tidak pernah terlibat baik secara individu ataupun melalui Karyawan dan kenapa sekarang dia bercakap?" katanya kepada mStar Online.

Pengarah filem Libas itu berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan dikeluarkan Freddie bahawa Jurey mempunyai tahap pemikiran lemah apabila memanggil Karyawan sebagai sebuah persatuan rojak.

Pergeseran itu bermula apabila Freddie dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar pada Sabtu lalu, mempertikaikan Gafim yang tidak berpuas hati dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) berikutan penangguhan Festival Filem Malaysia ke-25.

Jurey dalam kenyataan balasnya, menyifatkan Freddie tidak layak untuk campur tangan dalam konflik antara Finas dan Gafim kerana Karyawan tidak pernah terlibat dalam penganjuran FFM selama ini.

Tambah Jurey, pihaknya turut menggesa Freddie mengemukakan bukti secara hitam dan putih yang menyatakan kegagalan Gafim dalam mengendalikan FFM24 lalu.

"Dia cakap tanpa fakta dan berpengetahuan cetek. Gafim tuntut dia buktikan mana-mana artikel atau laporan yang mengatakan kita gagal anjurkan FFM lalu.

"Bagaimana dia boleh persoalkan kita sedangkan FFM24 tetap dilaksanakan tanpa rungutan. Malah, Finas sendiri beri sijil penghargaan atas penganjuran itu," katanya.

Jurey berkata, semua pihak tidak perlu salah faham dengan tindakan lantang Gafim berhubung FFM25 kerana ia dilakukan atas keprihatinan mereka terhadap industri perfileman tanah air.

"Kita bersuara mengenai FFM25 kerana kita sayangkan industri. Bukan kita bantai Finas tetapi kita tegur mengenai persiapan FFM. "Itu peranan kita sebab dari 1985 lagi memang FFM dianjurkan bersama Finas, Gafim dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).

"Kenapa pula dia (Freddie) yang tidak pernah terlibat tiba-tiba bersuara?" soalnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan