'Anugerah Artis Sabah' Mampu Bawa Perkembangan Baik Di Bidang Seni

Diterbitkan: Ahad, 23 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Marsha
Marsha

KOTA KINABALU: Menteri Penerangan Komunikasi danKebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim percaya majlis 'Anugerah Artis Sabah' yang julung kali diadakan mampu membawa perkembangan pesat terhadap bidang seni muzik, nyanyian dan perfileman tempatan.

Sambil menyokong usaha itu, Rais berkata inisiatif Persatuan Rumpun Artis Sabah (PARAS) menganjurkan anugerah itu wajar disokong semua pihak bagi memberi ruang dan peluang memartabatkan golongan artis di negara ini.

"PARAS harus meneruskan usaha murni ini sejajar dengan kedudukannya yang terdiri daripada kepelbagaian suku kaum di negeri ini dan Sabah benar-benar mengamalkan konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian anugerah itu di Pusat Konvensyen Star City di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha kementerian Azemi Che' Haron.

Rais turut mengucapkan tahniah kepada PARAS kerana berjaya merealisasikan majlis seumpama itu bagi menghargai bakat dan sumbangan artis Sabah yang banyak berjaya di peringkat negeri malah negara dan antarabangsa.

Pada majlis itu, penyanyi tersohor dengan lagu 'Anak Kampung', Jimmy Palikat dianugerahkan sebagai Penyanyi Lelaki Pilihan dan Clarice John Matha sebagai Penyanyi Wanita Pilihan.

Sementara itu, Pelakon TV Pilihan dianugerahkan kepada Marsha Milan Londoh dan penyanyi serta pelakon yang juga presiden PARAS Abu Bakar Ellah dikurniakan Anugerah Bintang Seniman Kinabalu.

Sebanyak 30 anugerah dalam empat kategori utama iaitu Anugerah Pilihan, Anugerah Pencapaian, Anugerah Khas dan Anugerah Bintang Seniman Kinabalu diberi kepada pencapaian artis negeri ini sepanjang tempoh 2002 hingga tahun ini.

Turut hadir Pengarah Penyiaran Sabah Abdul Jailani Mahmud dan Pengarah Penerangan Sabah Almain Ajirul.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan