ALBUM BARU: 'Salam Rindu' Album Taruhan Ketiga Eren

Diterbitkan: Sabtu, 15 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALBUM: Salam Rindu

ARTIS: Eren

EDARAN: Warner Music Malaysia

EREN atau nama sebenarnya Erna Tri Suryani merupakan seorang penyanyi Indonesia yang sering berkolaborasi bersama kumpulan Kangen Band sebagai penyanyi latar.

Memulakan karier dengan naskah album pertama berjudul Jendela Hati pada tahun 2007, Eren berjaya mendapat tumpuan buat penggemar-penggemar muzik Indonesia.

Diikuti juga dengan album keduanya, Perubahan, namanya semakin kukuh melekat di hati peminat.

Lantas, keyakinan Eren terhadap peminat-peminatnya membuatkan wanita kelahiran Lampung itu meneruskan perjalanan muziknya dengan album ketiga iaitu Salam Rindu.

Eren telah mempertaruhkan sebanyak lapan buah lagu iaitu Pergi Tanpa Alasan, Tanpa Cinta, Tak Bisa Tanpamu, Cukup sudah, Salam Rindu, Sendiri lagi, Terluka dan Senandung Malam.

Album Salam Rindu ini merupakan hasil kerjasama Eren bersama Tama (Kangen Band) dan Andi Bayou, serta barisan pemuzik muda berbakat seperti Andi (Merpati), Ato (Angkasa), Ugie (Dua Mata), Irwan (Joker) dan Poci (Sayap Laki).

Eren juga turut berkolaborasi dengan Jay (vokalis kumpulan Organik) menerusi duet Tak Bisa Tanpamu.

Bagi yang tidak mengenali penyanyi berusia 28 tahun ini, mendengar suaranya yang memiliki vokal yang sangat mantap sahaja pasti akan membuat ramai yang terkejut apabila melihat imejnya yang merupakan seorang wanita bertudung.

Ternyata juga, imej yang dianggap konservatif bagi sesetengah pihak bukan penghalang untuk dia meraih para peminat. Asalkan mempunyai kualiti vokal dan hasil karya yang bagus, di pelusuk dunia mana sekalipun seseorang individu itu berada, mereka pasti akan menjadi kegemaran ramai.

Menerusi album ini, Eren mempertaruhkan single pertamanya iaitu Pergi Tanpa Alasan, sebuah lagu ringan yang ebrkisar kekecewaan dalam perhubungan.

Melodinya yang dicipta sendiri oleh Tama begitu melankolik dan pastinya membuatkan jiwa pendengar shahdu, lebih-lebih lagi dengan lirik yang penuh kedukaan.

Bukan sahaja lagu-lagu balada yang disampaikan, Eren turut menampilkan muzik rancak menerusi lagu Cukup Sudah, ciptaan Ugie.

Secara keseluruhannya, album berkonsepkan slow rock pasti akan memberi kepuasan buat para pendengar dan album ini kini boleh didapati di pasaran dengan harga hanya RM27.90.

iklan

iklan

Iklan