Penerbit 'Adutha Kattam' Yakin Raih Kejayaan Besar

Diterbitkan: Rabu, 12 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Navanithen berkata pihaknya berusaha sedaya upaya untuk menjadikan filem 'Adutha Kattam' bukan saja mendapat sambutan daripada penonton tempatan, tetapi juga di India.
Navanithen berkata pihaknya berusaha sedaya upaya untuk menjadikan filem 'Adutha Kattam' bukan saja mendapat sambutan daripada penonton tempatan, tetapi juga di India.

KUALA LUMPUR: Penerbit filem Tamil tempatan iaitu Navanithen Ganesan, menaruh harapan agar filem berjudul 'Adutha Kattam' (Babak Mendatang), yang mula ditayangkan pada Khamis lepas itu mencatat kejayaan 'boxoffice'.

Dalam temu bual dengan Bernama selepas previu filem itu baru-baru ini, Ganesan berkata, pihaknya berusaha sedaya upaya untuk menjadikan filem ini bukan saja mendapat sambutan daripada penonton tempatan, tetapi juga di India.

Katanya filem bercorak aksi suspens itu mencipta rekod sebagai filem Tamil pertama keluaran Malaysia yang berjaya dijual kepada pengedar di India untuk ditayangkan di 25 pawagam di negeri Tamil Nadu.

"Walaupun ia merupakan cerita biasa, tetapi lakon layarnya menjadikan filem ini sebuah filem aksi yang menarik, disokong pula oleh muzik latar yang hebat dan banyak kesan bunyi.

"Saya gembira melihat bakat tempatan kita meningkatkan kemampuan mereka untuk bersaing dengan artis antarabangsa," ujarnya.

Katanya memandangkan pasaran bagi filem Tamil keluaran tempatan kini berada pada tahap peralihan, maka penerbit perlu memberi penekanan tentang kualiti, tanpa terlalu mengharapkan keuntungan besar dan mereka perlu menerbitkan sekurang-kurangnya lima filem berkualiti secara terus menerus untuk menarik minat penonton.

Ditanya tentang sejauh mana pentingnya sesebuah filem membariskan pelakon popular untuk menarik minat penonton, beliau berkata perkara itu memang tidak dapat dinafikan.

"Tapi, bagi industri filem Tamil Malaysia, kita belum sampai ke tahap itu... kerana kita tidak mempunyai banyak bakat yang berpengaruh besar. Kita perlu cari bakat baharu untuk menambah jumlahnya.

"Inilah yang dapat anda lihat dalam 'Adutha Kattam'.

"Kami memperkenalkan Malar Meni Perumal sebagai heroin dan dia memberi lakonan yang hebat," jelasnya.

Sementara itu, penerbit 'Adutha Kataam' boleh menjangkakan akan mencatat kejayaan memberangsangkan terhadap filem terbitan pertama mereka ini.

Walaupun hanya menghidangkan kisah biasa, namun cara persembahannya begitu lancar dan menarik melalui lakonan para pelakon utamanya, di samping menghidangkan persembahan visual dan audio yang hebat.

Filem terbitan NGP Film ini mendapat kelulusan Finas dan antara filem Tamil yang diletakkan di bawah skim 'Wajib Tayang'.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan