Fina (AF9) Tidak Salahkan Pengurusan Kerjaya Suram - Berita Hiburan | mStar

Fina (AF9) Tidak Salahkan Pengurusan Kerjaya Suram

Diterbitkan: Selasa, 4 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Fina memberitahu pihak Astro telah menguruskan kerjaya seninya dengan baik namun menganggap rezeki masih belum berpihak kepadanya.
Fina memberitahu pihak Astro telah menguruskan kerjaya seninya dengan baik namun menganggap rezeki masih belum berpihak kepadanya.

PETALING JAYA: Bekas peserta program Akademi Fantasia 9 (AF9) iaitu Fina tidak menyalahkan pihak pengurusannya iaitu Astro Talent ekoran kerjaya nyanyiannya yang kelihatan suram.

Fina atau nama sebenarnya, Nurshafinaz Jebat, 19, berkata, pihak Astro telah menguruskan kerjaya seninya dengan baik namun menganggap rezeki masih belum berpihak kepadanya.

"Tidak timbul isu pihak pengurusan mengabaikan saya kerana mereka telah melakukan yang terbaik untuk menaikkan kerjaya nyanyian saya. Namun barangkali rezeki masih belum berpihak kepada saya," jelasnya kepada mStar Online.

Fina ditemui ketika menghadiri program MasterChef Malaysia musim kedua yang berlangsung pada malam Sabtu lalu.

Tambah Fina, pihak Astro juga perlu memikirkan artis lain yang dibawah naungan mereka dan tidak hanya tertumpu kepada seseorang artis sahaja.

Dalam pada itu, Fina mengakui masih belum berpuas hati dengan pencapaian yang dimiliki sebagai penyanyi selepas tamat program Akademi Fantasia pada tahun 2011.

Bagaimanapun kata Fina, dia tidak berasa kecewa atau sedih sebaliknya menganggap perlu berusaha lebih gigih untuk meletakkan namanya sebaris dengan penyanyi terkenal yang lain.

"Sebagai orang baru saya masih belum berpuas hati dengan pencapaian sebagai penyanyi sebaliknya masih banyak perkara yang perlu saya beri perhatian untuk lebih dikenali dikalangan peminat," jelasnya yang popular dengan lagu Radio.

Sementara itu, Fina berkata, dia berharap dapat melancarkan albumnya sendiri pada tahun hadapan namun tidak mahu terlalu meletakkan harapan kerana sedar keadaan pasaran album yang lembab ketika ini.

Fina berkata, dia mungkin akan tampil dengan album single terlebih dahulu sebagai strategi pemasaran sebelum merakamkan album penuh.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan