Imran Ajmain Masih Belum Temui Pengganti Siti Saerah

Diterbitkan: Isnin, 26 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Imran Ajmain masih belum menemui teman istimewa selepas hubungannya dengan Siti Saerah berakhir dua tahun lalu.
Imran Ajmain masih belum menemui teman istimewa selepas hubungannya dengan Siti Saerah berakhir dua tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan penulis lagu Imran Ajmain mengakui masih belum mempunyai kekasih selepas hubungannya dengan penyanyi Siti Saerah Tarudin pada dua tahun lalu menemui kegagalan.

Imran, 31, berkata, kejadian itu meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya sehingga menyebabkan dia enggan terburu-buru untuk memulakan komitmen cinta yang baru.

“Saya masih solo selepas kegagalan hubungan (dengan Siti Saerah) dan tidak mahu terburu-buru dalam mencari pasangan.

“Banyak juga saya keluar dan berkawan dengan beberapa wanita. Malah, ada yang berkenan cuma saya belum bersedia sepenuhnya,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.

Siti Saerah yang merupakan adik kepada penyanyi Datuk Siti Nurhaliza mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihannya, Saiful Anuar pada 27 Oktober 2010.

Jelas penyanyi lagu Seribu Tahun ini, kegagalan hubungan lalu bagaimanapun tidak langsung menjejaskan hasratnya untuk membina keluarga sendiri kelak.

“Saya tumpang gembira dengan kebahagiaan perkahwinan dia (Siti Saerah). Sudah bukan jodoh kami untuk bersama.

“Apa pun, saya mahu berkahwin dalam tempoh lima tahun ini. Saya tidak mahu memiliki anak yang masih kecil ketika usia meningkat tua,” katanya.

Mengenai perkembangan kerjaya, penyanyi yang berasal dari Singapura ini berkata, dia kini tampil dengan lagu terbaharu berjudul Dikalung Kasihan ciptaan Azlan Abu Hassan dan B. Azhar.

“Selepas tiga tahun menyepi, saya kembali dengan Dikalung Kasihan yang bakal dimuatkan dalam album akan datang untuk dipasarkan pada suku pertama 2013.

“Sambutan orang ramai terhadap lagu itu memberikan petanda baik untuk saya kembali aktif. Sejak lagu itu kian popular saya menerima banyak tawaran persembahan semula,” kongsinya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan