Dua Filem Komersial Beri Kepuasan Kepada Woo Ming Jin

Diterbitkan: Jumaat, 23 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Woo Ming Jin mahu mengimbangi antara pengarahan filem bebas dan komersial. - Foto oleh RAYMOND OOI
Woo Ming Jin mahu mengimbangi antara pengarahan filem bebas dan komersial. - Foto oleh RAYMOND OOI

PETALING JAYA: Pengarah filem Woo Ming Jin memberitahu keputusan menghasilkan dua filem komersial pada tahun ini iaitu KL Zombie dan Mamak Cupcake bukan disebabkan sambutan hambar terhadap karya-karya bebasnya sebelum ini.

Sebaliknya, Ming Jin berkata, pengalaman mengarahkan kedua-dua jenis filem itu memberi kepuasan berbeza kepadanya selama 10 tahun bergelar pengarah.

"Kedua-duanya meninggalkan kepuasan tersendiri. Selama 10 tahun bergelar pengarah, saya mula mengenali kepuasan dan kekuatan berbeza menerusi kedua-dua filem.

"Saya hanya berusaha menghasilkan apa jua filem saya dengan sebaik mungkin walaupun saya akui filem-filem bebas arahan saya tidak mendapat sambutan," katanya.

Ming Jin berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran filem terbarunya berjudul Mamak Cupcake di sini, petang Rabu.

Filem komedi itu dibintangi antaranya Shaheizy Sam, Siti Saleha, Maria Farida, Azad Jazmin, Natasha Hudson dan Accapan.

Ming Jin berkata, pembabitan dalam dua filem komersial itu adalah berdasarkan peluang yang diberikan pihak penerbit.

Namun, katanya, sambutan dingin masyarakat pada filem-filem bebas tidak memadamkan semangatnya untuk terus mengarahkan karya sedemikian.

"Filem bebas memberikan hak pemilikan yang lebih besar dan menyeluruh. Ia bersifat peribadi kerana lahir sepenuhnya daripada saya tanpa sekatan atau terikat dengan kehendak penerbit.

"Namun, pengalaman mengarahkan filem komersial memberikan persepsi dan impak tersendiri. Kedua-duanya sama penting," katanya.

Tambah Ming Jin, dia bagaimanapun akan kembali mengarahkan projek filem bebas selepas ini.

Filem Mamak Cupcake dijangka ditayangkan pada penghujung 2013.

Antara filem bebas pengarah ini adalah The Tiger Factory, The Big Durian, 15Malaysia dan The Elephant and the Sea.

Ming Jin juga pernah bergandingan dengan pengarah dan pelakon Pierre Andre menghasilkan filem komersial berjudul Seru yang ditayangkan pada tahun lalu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan