Imran Ajmain Terfikir Kerjaya Mungkin Berkubur

Diterbitkan: Sabtu, 17 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Imran Ajmain
Imran Ajmain

KUALA LUMPUR: Penyanyi Imran Ajmain pernah terfikir kerjaya seninya sebagai penyanyi berkemungkinan tidak bertahan lama disebabkan industri hiburan yang tidak menentu sepanjang tiga tahun lalu.

Imran, 31, berkata, hal itu dirasakan apabila dia kurang mendapat bantuan stesen televisyen dan radio bagi mempromosikan lagu-lagunya ekoran persaingan sengit di kalangan penyanyi lain.

"Saya pernah dikenali ramai ketika awal kemunculan kerana tuah lagu Seribu Tahun, namun fenomena itu tidak bertahan untuk lagu-lagu seterusnya.

"Sebenarnya dalam tempoh itu saya masih aktif memenuhi pelbagai undangan nyanyian cuma tiada cerita lain hendak dikongsi. Sebab itu nama saya agak senyap," katanya.

Penyanyi berasal dari Singapura itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelima portal hiburan dan gaya hidup, Gua.com.my di Hotel Tune di sini, petang Jumaat.

Imran berkata, semangat yang mendalam terhadap bidang muzik menjadi kekuatan untuk dia terus berusaha menghasilkan lagu-lagu baru dari masa ke semasa.

"Selain muzik, saya mula mengenali dunia media sosial dengan lebih mendalam. Saya lihat medium itu memberikan banyak manfaat bagi mempromosikan hasil kerja.

"Perasaan rajuk, kecil hati atau hampa takkan membawa kita ke mana pun, apatah lagi untuk mengukuhkan semula kerjaya. Pengalaman sepanjang tiga tahun ini mengajar saya lebih berdikari dan berani," katanya.

Justeru itu dia kini boleh menarik nafas lega apabila lagu terbaru pertaruhannya berjudul Dikalung Kasihan untuk album akan datangnya semakin mendapat perhatian umum.

"Sambutan orang ramai terhadap lagu ciptaan bersama Azlan Abu Hassan itu memberikan petanda baik untuk saya kembali aktif.

"Malah, sejak lagu itu kian popular saya menerima banyak tawaran persembahan semula. Saya anggap lagu itu 'menjadi' sentuhannya," katanya.

Album terbaru Imran di bawah label Life Records itu bakal memuatkan lapan lagu. Ia dijangka berada di pasaran pada 2013.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan