Sharnaaz Sudah Terima Surat Saman, Yakin Tidak Bersalah

Diterbitkan: Khamis, 15 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Sharnaaz Ahmad (gambar) telah menerima notis saman daripada penerbit filem Darah Panas iaitu S. Baldev ekoran insiden dia dikatakan meninggalkan lokasi ketika penggambaran filem tersebut baru-baru ini.

Sharnaaz, 27, berkata, dia menerima surat itu pada Isnin lalu yang antara lain melarangnya berhubung dengan semua tenaga produksi filem berkenaan.

"Saya sudah menerima notis saman tersebut dan setakat ini tiada sebarang perkembangan lagi kerana saya ingin berbincang terlebih dahulu dengan pihak peguam yang bakal saya lantik untuk membalas notis tersebut," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Dalam satu kejadian Sharnaaz turut didakwa telah menolak dan mencekik leher penolong pengarah filem itu, Mohd Hafiz Mat Ishak kerana dikatakan marah apabila terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan pakaian bagi kegunaan penggambaran sehingga proses penggambaran bermula lewat.

Dalam pada itu, Sharnaaz enggan mendedahkan isi kandungan notis tersebut secara menyeluruh namun mengakui akan melakukan sesuatu bagi membersihkan namanya yang sudah tercalar.

Sharnaaz bagaimanapun tidak menafikan ada melakukan kesalahan namun menepis beberapa fitnah yang dilemparkan oleh pihak penerbit termasuk insiden dia menolak dan mencekik leher Mohd Hafiz pada hari kejadian.

"Saya akui ada berselisih faham dengan Hafiz dan saya sudah minta maaf kepadanya 10 minit selepas kejadian dan hubungan kami kembali mesra selepas itu.

"Malah kami sering berhubung dan menghantar mesej SMS (khidmat pesanan ringkas) dan semua bukti itu saya masih simpan. Malangnya dia (Baldev) melarang saya berhubung dengan krew produksinya melalui notis peguam itu," jelasnya.

Tambah Sharnaaz, dia sebolehnya enggan membawa kes itu ke mahkamah dan sanggup untuk mengemukakan permohonan maaf secara terbuka bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Namun dia yakin pihak produksi filem itu tidak akan membuat apa-apa untuk membersihkan namanya yang sudah tercalar.

"Saya tiada masalah untuk meminta maaf tetapi apa mereka boleh lakukan untuk membersihkan pula nama saya? Saya tidak mahu melawan tetapi ingin menegakkan kebenaran," jelasnya.

Sharnaaz beri komitmen dalam Rebah Taubat

Sementara itu, pengarah drama Rebah Taubat, Shuhaimi Lua berkata, sepanjang bekerjasama dengan kekasih kepada Shila Amzah itu, Sharnaaz seorang yang berdisiplin dan berjaya mematuhi jadual yang diberikan kepadanya.

Shuhaimi berkata, walaupun pada mulanya dia agak bimbang pelakon itu akan menimbulkan masalah seperti yang digembar-gemburkan namun dakwaan itu ternyata salah selepas dia bekerja sendiri dengan Sharnaaz.

"Sepanjang bekerjasama tidak pula dia menimbulkan sebarang masalah malah sangat mudah dibawa berbincang. Malah saya tidak teragak-agak untuk mengambil dia berlakon lagi selepas ini," jelasnya.

Tambah Shuhami, berdasarkan kepada pengalamannya sebagai seorang pengarah dan pengurus produksi sebelum ini, para artis tidak akan menimbulkan sebarang masalah sekiranya mereka diberikan jadual dan skrip lebih awal

Katanya, penggambaran juga haruslah berjalan dengan tepat agar masalah berkaitan pertembungan jadual kerja pelakon dan krew tidak berlaku.

“Berdasarkan kepada pengalaman saya mengarah Rebah Taubat, saya dapat menilai sikap Sharnaaz yang sebenarnya. Saya berpuas hati dengan mutu lakonan yang dia berikan terhadap drama arahan saya ini. Sungguh hebat dan luar biasa,” katanya.

Rebah Taubat mengisahkan sepasang suami isteri, Halim lakonan Sharnaaz dan Wati (Nabila HUda) hidup bahagia walaupun mereka bukan di kalangan orang berada.

Perkahwinan atas dasar suka sama suka itu membolehkan mereka dikurniakan seorang anak yang diberi nama Aina (Adik Putri Syasya).

Namun pada satu hari, Wati terserampak dengan kawan lama yang mengajarnya untuk mencari kemewahan sehingga menyebabkan dia bergelumang dengan noda dan meninggalkan keluarga.

Telefilem ini akan disiarkan di TV3 sempena sambutan Maal Hijrah bermula pukul 10 malam pada Khamis (malam ini).

Selain Sharnaaz dan Nabila Huda, drama ini turut dijayakan oleh Putri Syasya, Engku Faridah, Nas Adila, Aripah Damanhuri, Lan Zailan dan Faiz Fadzil.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan