Gafim Sambut Saranan PM Kaji Struktur Industri Hiburan

Diterbitkan: Rabu, 14 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Jurey yang mewakili Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) menyambut baik saranan Perdana Menteri bagi mengkaji semula struktur industri hiburan tanah air dengan segera.
Jurey yang mewakili Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) menyambut baik saranan Perdana Menteri bagi mengkaji semula struktur industri hiburan tanah air dengan segera.

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengkaji semula struktur industri hiburan tempatan bagi mewujudkan keseimbangan dan keadilan terhadap penggiat seni.

Presidennya, Jurey Latiff Rosli berkata, saranan itu dilihat seiring dengan perjuangan gabungan persatuan itu sejak kebelakangan ini mengenai isu-isu seperti harga pembelian program televisyen yang tidak relevan dan kebajikan artis.

“Seperti yang kita ketahui banyak isu timbul dalam bidang seni yang masih tidak selesai sejak sekian lama walaupun sudah banyak kali disuarakan.

“Akhirnya, Perdana Menteri mengeluarkan saranan yang dapat menyelamat dan memulihkan ekosistem industri seni.

“Kami meminta agar kementerian segera memanggil semua persatuan untuk duduk berbincang bagi mengkaji dan menstrukturkan semula dasar-dasar yang bersesuaian untuk warga seni,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, pada Selasa.

Jurey yang juga Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) berkata demikian sebagai respons kepada teguran dikeluarkan Najib berkenaan isu tersebut pada majlis pelancaran Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam Ahad lalu.

Justeru, Jurey berkata, dia berharap tindakan segera akan dilakukan pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bagi melaksanakan penstrukturan semula dasar yang bersesuaian untuk pemulihan dan perkembangan industri seni tanah air.

“Kita (anak seni) berada dalam ekosistem yang tidak kondusif apabila terus dibebankan dengan pelbagai isu yang tidak berkesudahan.

“Dasar-dasar yang sedia ada perlu dikaji semula bagi memulihkan ekosistem hiburan kita untuk jangka panjang,” katanya.

Ditanya mengenai usul penting yang perlu dikaji semula, Jurey berkata, beberapa perkara utama termasuk penubuhan tabung pencen artis dan penetapan harga baru produk televisyen wajar diberikan keutamaan.

“Tabung pencen artis adalah cadangan penting yang wajar dikaji di bawah penstrukturan semula itu. Selama ini, skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diperkenalkan terletak kepada inisiatif artis untuk mencarum sendiri dan ia tidak diwajibkan.

“Kita perlukan dasar yang mewajibkan semua anak seni mencarum di dalam tabung itu untuk hari tua. Pemotongan untuk tabung itu boleh dilakukan daripada peratus tertentu bayaran lakonan dan royalti artis seperti dilaksanakan di Amerika Syarikat.

“Begitu juga dengan isu kadar baru harga program televisyen. Kita berharap kementerian akan mengumumkan dengan segera harga baru yang dipersetujui daripada mesyuarat bersama wakil persatuan dan stesen televisyen pada 8 November lalu,” katanya.

Katanya, penubuhan sebuah jawatankuasa bagi mengkaji penambahbaikan struktur industri kreatif dengan menyediakan pelan jangka pendek dan panjang akan mewujudkan industri yang kondusif dan menjamin masa depan para penggiat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan