RTM Akan Kaji Bayaran Drama Syarikat Produksi

Diterbitkan: Selasa, 30 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Kamaruddin Siaraf ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Perasmian Konvensyen Inovatif dan Kreatif di Muzium Negara di sini, Selasa. - Foto oleh BERNAMA
Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Kamaruddin Siaraf ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Perasmian Konvensyen Inovatif dan Kreatif di Muzium Negara di sini, Selasa. - Foto oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan mengkaji semula kaedah atau garis panduan dalam proses pembelian drama daripada syarikat produksi tempatan.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata, satu mesyuarat bersama menteri berkenaan iaitu Datuk Seri Dr Rais Yatim akan diadakan bagi membincangkan perkara itu tidak lama lagi.

Katanya pada masa ini, harga pembelian bagi program televisyen, dibayar mengikut kualiti yang dinilai oleh panel penilaian dan diluluskan oleh Jabatan Perbendaharaan.

Kadar yang ditetapkan bagi sebuah telefilem adalah antara RM100,000 hingga RM150,000 manakala bagi drama bersiri pula antara RM40,000 hingga RM45,000.

"Kalau kualiti daripada hasil panel penilai, kita biasanya bagi harga antara RM100,000 hingga RM120,000 untuk telefilem.

"Selain itu, kerajaan juga memperkenalkan insentif di mana, kalau rating dan kualiti tinggi, kita bagi insentif 10 hingga 15 peratus daripada harga yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) 2012 di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai rungutan isu bayaran murah oleh stesen televisyen yang ditimbulkan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), baru-baru ini.

Sementara itu, menjelaskan mengenai teguran beliau terhadap siaran berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kamaruddin berkata penyiaran berita perlu lebih kreatif untuk menarik minat penonton sekali gus membolehkan mesej berjaya disampaikan kepada mereka.

"Selera penonton berbeza dari semasa ke semasa jadi persembahan perlulah kreatif. Apa yang penting adalah audien, kalau tidak ditonton, ia tiada maknanya," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan