Aksi Hambar Jonas Brothers Pukau Peminat Remaja

Diterbitkan: Khamis, 25 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Aksi hambar Jonas Brothers pada konsert sulung mereka di negara ini mendapat sambutan yang meriah di kalangan peminat remaja. - Foto oleh SHAHRUL FAZRY ISMAIL
Aksi hambar Jonas Brothers pada konsert sulung mereka di negara ini mendapat sambutan yang meriah di kalangan peminat remaja. - Foto oleh SHAHRUL FAZRY ISMAIL

KUALA LUMPUR: Trio adik-beradik Jonas Brothers (JB) memukau peminat remaja mereka biarpun beraksi hambar pada konsert Jonas Brothers Live in Malaysia 2012 di Stadium Negara di sini, malam Rabu.

Aksi kumpulan yang dianggotai Kevin, 25, Joe, 23 dan Nick, 20, ini mengecewakan apabila mereka tampil dengan persembahan bertaraf sesi latihan di hadapan kira-kira 3,000 penonton.

Bagaimanapun, JB cukup bertuah kerana masih menerima sokongan luar biasa peminat yang ‘menggilai’ kemunculan sulung mereka di negara ini.

Pada konsert ‘reunion’ selama satu jam setengah itu, JB mempersembahkan 20 buah lagu antaranya Much Better, Paranoid, Gotta Find You, Still In Love With You, Last Time Around dan Lovebug.

Persembahan yang bermula pada sekitar pukul 8.30 malam itu diserikan dengan kemunculan penyanyi Amerika Syarikat, Anna Maria sebagai persembahan pembukaan.

Stadium menjadi gamat apabila JB tampil di pentas pada pukul 8.45 malam untuk memulakan persembahan mereka menerusi lagu popular When You Look Me In The Eyes.

Kemeriahan konsert itu terus mendominasi suasana konsert dengan teriakan peminat yang kebanyakannya terdiri daripada gadis remaja dalam mengiringi satu demi satu lagu yang disampaikan JB.

Ironinya, sokongan padu peminat tidak setimpal dengan persembahan acuh tak acuh trio itu yang seolah menjadikan konsert berkenaan seperti gelanggang pemanas badan mereka.

Tanpa gimik dan kesungguhan di pentas, stamina dan persediaan kumpulan itu juga meragukan kerana mereka kelihatan ‘malas’ dan kurang bertenaga ketika beraksi.

Kualiti rendah yang dipersembahkan JB itu seperti mengukuhkan lagi persepsi negatif bahawa segelintir artis luar mengambil mudah komitmen mereka ketika beraksi di negara ini.

Lagu popular mereka Burnin’ Up menutup tirai persembahan pada sekitar 10.15 malam.

JB membawa haluan sendiri pada 2009 bagi memberi laluan kepada karier solo masing-masing selepas mengeluarkan album keempat berjudul Lines, Vines and Trying Times.

Selepas tiga tahun berlalu, mereka kembali bergabung pada tahun ini bagi memenuhi siri jelajah ‘reunion’ dan persiapan untuk album kelima.

Jonas Brothers Live in Malaysia 2012 dibawakan oleh The Wonderland.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan