Sikap Iri Hati Punca Fitnah Terhadap Syed Ali

Diterbitkan: Khamis, 18 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Syed Ali akui tertekan dengan gosip liar yang berlaku terhadapnya.
Syed Ali akui tertekan dengan gosip liar yang berlaku terhadapnya.

PETALING JAYA: Pelakon Syed Ali merasakan sikap iri hati individu tertentu terhadap peningkatan kariernya sejak kebelakangan ini menjadi punca penyebaran pelbagai gosip serta fitnah yang bertujuan menjatuhkan kredibilitinya sebagai seorang pelakon.

Syed Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Tar Mohd, 27, berkata, perkara itu semakin menjadi-jadi termasuklah isu kononnya dia menjalinkan cinta songsang sehingga dipersoalkan oleh keluarganya di kampung, Perak.

“Saya percaya ada pihak yang menyimpan perasaan iri hati dengan kejayaan saya. Mereka menabur fitnah yang bukan-bukan semata-mata ingin melihat kerjaya seni saya lingkup,” katanya kepada mStar Online dalam satu pertemuan di Menara Star, di sini pada Selasa.

Kata Syed, berita-berita itu telah menjatuhkan maruahnya sehingga amat sukar untuk dia menyembunyikan perasaan malu terutama sekali apabila mendapat reaksi daripada keluarga.

"Saya malu kepada keluarga terutamanya bapa disebabkan gosip yang keluar mengenai anaknya. Bapa sering menelefon saya untuk bertanyakan kesahihan sesuatu cerita itu.

"Mujur bapa memahami selepas saya menjelaskan keadaan sebenar. Saya lega dengan penerimaan keluarga yang cukup faham dengan kerjaya yang saya pilih ini," ujarnya.

Sehubungan itu dia berazam untuk membuat kemunculan terbaharu menjelang tahun 2013 merangkumi setiap aspek daripada penjagaan imej, kehidupan dan kerjaya agar kisah-kisah tidak baik yang dilaluinya dapat dihapuskan.

Katanya, perubahan itu akan dilakukan secara berperingkat dan buat masa ini dia banyak memfokuskan kepada aspek kesihatan dengan berkunjung ke pusat kecergasan untuk bersenam dan membina otot.

Sementara itu, Syed bersyukur apabila rezekinya semakin bertambah walaupun namanya tidak sepopular artis-artis lain dan berhasrat untuk menjadi pelakon yang benar-benar berjaya dan disegani.

"Alhamdulillahlah rezeki sentiasa ada walaupun nama saya tidak segah artis lelaki yang lain. Namun begitu semangat saya tetap tinggi dalam mengejar impian yang saya semat selama ini," katanya.

Syed yang pernah popular menerusi drama Renjis dan Jiwa Kacau itu baru sahaja selesai menjalani dua buah drama berjudul Anakku Kahwin Lagi dan Dimensi untuk siaran RTM.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan