Filem Terbaik KL48HFP Akan Ke Hollywood

Diterbitkan: Ahad, 14 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemenang filem terbaik bagi Projek Filem 48 Jam (KL48HFP) akan diberi peluang menyertai festival antarabangsa iaitu Filmapalooza 2013 di Hollywood, Amerika Syarikat.

Penganjur KL48HFP, Shahril Fahazmi Musa, berkata, pemenang filem terbaik yang akan diumumkan pada malam ini (Ahad) di Menara Kuala Lumpur (KL) itu akan bersaing dengan 114 karya terbaik lain dari seluruh dunia lain yang menganjurkan 48HFP.

"Filem terbaik itu sekaligus diberi peluang untuk ditayangkan pada Cannes Film Festival’s Short Film Corner.

"Lebih menarik lagi, pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) juga menyalurkan RM30,000 kepada pemenang untuk menghasilkan sebuah filem untuk ditayangkan pada festival itu nanti beserta dua tiket penerbangan ke Hollywood," katanya.

Shahril ditemui pada tayangan filem pendek KL48HFP di TGV Cineplex, Suria KLCC.

Projek KL48HFP merupakan sebuah pertandingan anjuran buat kali ketiga dengan mempertaruhkan bakat penggiat filem amatur dan profesional bagi merangka, mengarah, menyunting dan menyiapkan sebuah filem pendek dalam jangka masa yang begitu singkat iaitu 48 jam.

Kemudian, setiap kumpulan diberikan kebebasan mengikut jangka masa yang telah ditetapkan.

Pengumuman pemenang akan diadakan pada malam Ahad di Amphitheater, Menara KL.

Tambah Shahril, sebanyak 13 kategori pemenang yang akan diumumkan.

"Saya percaya, penglibatan penggiat filem amatur terutamanya dapat membuatkan kita lihat sejauh mana idea yang mampu dihasilkan mereka.

"Berdasarkan yang ditonton, idea yang ditonjolkan dalam filem mereka ternyata berbeza," ujarnya.

Sementara itu, bagi yang ingin turut serta ke majlis pengumuman pemenang, tiket berharga RM20 boleh ditempah menerusi talian www.kl48hourfilm.com.

Juri yang menilai filem-filem pendek itu adalah Julia Fraser, Ken S.Yap dan Shukor Kadir.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan