Album Baru Reshmonu Bakal Tiru Muzik K-Pop

Diterbitkan: Sabtu, 13 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Reshmonu
Reshmonu

KUALA LUMPUR: Fenomena global yang dicetuskan bintang K-Pop, PSY menerusi lagu Gangnam Style mendorong penyanyi dan komposer Reshmonu untuk menuruti jejak langkah yang sama dalam album terbarunya.

Reshmonu atau nama sebenarnya Hiresh Haridas, 36, berkata, dia kini dalam proses pembikinan album baru yang mempertaruhkan genre pop tari dan tekno dengan adunan elemen Nusantara.

Katanya, pemilihan konsep tersebut dalam album yang bakal memuatkan 22 lagu itu adalah seiring dengan trend dan selera muzik semasa yang cenderung pada muzik tari dan rancak.

“Selama ini saya dikenali ramai sebagai penyanyi “soul”. Selepas hampir tiga tahun tidak mengeluarkan album, sudah tiba masanya saya mempertaruhkan material baru yang menonjolkan transisi dan perkembangan dalam muzik.

“Dalam album itu nanti, saya akan mengetengahkan muzik tari dan tekno seperti muzik penyanyi Korea Selatan, PSY. Jika dia boleh mencetuskan fenomena di peringkat global, kenapa kita tidak boleh lakukan perkara yang sama?

“Untuk menambahkan kelainan, muzik tekno dan “house” dalam lagu-lagu baru saya nanti ada dalam bahasa Malaysia dan elemen Nusantara sebagai identiti kita,” katanya ketika ditemui mStar Online.

Penyanyi yang popular dengan lagu Hey Waley itu berkata, penghasilan album terbaru itu memberikan pengalaman dan kepuasan maksima kerana dia bertanggungjawab sepenuhnya daripada proses awal.

“Saya berasa puas kerana dapat mengawal dan menguruskan seluruh proses album ini sepenuhnya di bawah label muzik saya, R Records yang ditubuhkan sejak 2009.

“Pengalaman bergerak sendiri dan menguruskan kerjaya di bawah syarikat sendiri menjadikan saya lebih berani untuk mengambil risiko dan mencuba muzik yang lain daripada kebiasaan,” katanya.

Album Reshmonu dalam bahasa Tamil iaitu Ashtaka yang dikeluarkan pada awal tahun ini turut dipasarkan ke India.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan