Konsert 'Damai Unplugged' Zainal Abidin Angkat Lagu Rakyat

Diterbitkan: Sabtu, 29 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Zainal Abidin
Zainal Abidin

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal Zainal Abidin yakin konsert solonya yang berjudul “Damai Unplugged” akan mendapat sambutan peminat khususnya kepada mereka yang meminati lagu-lagu rakyat.

Katanya, hasrat membawa tema berkenaan tercetus kerana lagu-lagu rakyat semakin pupus ditelan zaman selain menjadi tanggungjawabnya untuk mengembalikan nostalgia peminat menerusi persembahan tersebut.

"Kita banyak lagu rakyat yang bagus dan menjadi satu lambang untuk kita sebagai rakyat Malaysia dan adalah menjadi kerugian jika ia dibiarkan pupus ditelan oleh zaman.

"Saya mengambil peluang menerusi konsert ini untuk mempopularkan kembali lagu-lagu itu melalui persembahan itu nanti," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui selepas sidang media konsert berkenaan di sini pada Jumaat.

Konsert berkenaan bakal diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 6 dan 7 Oktober depan.

Bercerita mengenai konsert itu Zainal memberitahu teruja apabila persembahannya turut diiringi 18 pemuzik secara unplugged daripada Orkestra Simfoni Kebangsaan yang diketuai oleh Faizal Uzir.

Katanya, ia adalah kali pertama dia mengadakan persembahan secara unplugged dalam skala besar.

"Walaupun pelawaan untuk mengadakan konsert ini dibuat dalam masa yang terhad tetapi Alhamdulillahlah pengalaman selama 30 tahun dalam bidang muzik membuatkan saya yakin untuk melakukannya.

"Tambahan pula saya diiringi oleh pemuzik yang berbakat pada malam itu nanti dan yakin peminat akan menyukai persembahan itu nanti," ujarnya.

Zainal akan mempersembahkan 18 buah lagu pada persembahan selama satu jam 30 minit itu.

Antara lagu-lagu popular yang akan disampaikan seperti Hijau, Orak Orek, Gamal, Ikhlas Tapi Jauh, Puteri, Suraya dan Kau Dihatiku serta lagu-lagu rakyat seperti Suriram, Burung Kakak Tua, Can Mali Can dan Oh Bulan.

Tiket bagi menyaksikan persembahan itu dijual dengan RM283, RM223, RM183, RM123 dan RM83.

Ia boleh didapati di www.ticketpro.com.my atau menghubungi 03-78807999.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan