Rossa Tunaikan Haji 12 Oktober Depan

Diterbitkan: Jumaat, 14 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Rossa hadir ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan album kompilasinya, The Best of Rossa. - Foto oleh KIMBERLY YEO
Rossa hadir ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan album kompilasinya, The Best of Rossa. - Foto oleh KIMBERLY YEO

KUALA LUMPUR: Penyanyi dari Indonesia, Rossa bakal menunaikan ibadah haji di Mekah bermula 12 Oktober depan.

Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, 34, berkata, perancangan tersebut sudah dilakukan sejak tahun lalu dan dia merasakan tahun ini adalah waktu yang sesuai untuk mengerjakan rukun Islam kelima tersebut.

"Saya akan menunaikan haji seorang diri. Saya mula terfikir mengenai hasrat ini sejak tahun lalu kerana sudah tiga kali saya mengerjakan umrah sebelum ini.

"Saya tidak mahu menunggu lama walaupun beberapa teman yang saya pelawa untuk sama-sama ke sana belum bersedia.

"Memandangkan saya berkemampuan dan sihat, mengapa perlu saya bertangguh lagi? Saya bimbang tidak sempat pula jika umur tidak panjang," katanya.

Rossa berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album kompilasinya, The Best of Rossa di pusat beli-belah Pavilion di sini, petang Khamis.

Rossa berkata, dia bakal bercuti daripada aktiviti seni sehingga penghujung Oktober depan bagi memberikan tumpuan pada ibadah berkenaan.

"Persiapan ke arah itu (haji) sedang berjalan. Saya menghadiri kursus haji bagi menambahkan ilmu dan rukun-rukun yang berkaitan dengan ibadah itu.

"Insya-Allah, saya akan sambung semula kerjaya seni pada awal November depan," katanya yang akan lebih tertib dalam penampilan selepas bergelar Hajah kelak.

Mengenai laporan media di Indonesia yang mendakwa dia sudah membawa teman lelaki bertemu keluarga, Rossa berkata, semua lelaki yang dikenalinya akan berbuat demikian dan perkara itu bukanlah sesuatu yang pelik.

"Saya bawa semua teman saya berjumpa ibu bapa dan keluarga selama ini, tidak kira yang istimewa atau tidak? Jadi perkara itu adalah sesuatu yang biasa.

"Memang saya berkawan dengan seseorang sekarang tetapi masih terlalu awal untuk saya mengesahkan dia calon istimewa. Rasanya, saya tidak perlu terburu-buru untuk berkahwin," katanya.

Ibu tunggal kepada Rizky Langit Ramadan yang berusia lima tahun ini bercerai dengan anggota kumpulan Padi iaitu Yoyo pada 14 Julai 2009 selepas lima tahun berkahwin.

Dalam pada itu, album kompilasi edaran Suria Records yang memuatkan 16 lagu popular antaranya Pudar, Ayat-ayat Cinta, Tegar, Atas Nama Cinta dan Hati Yang Kau Sakiti kini sudah pun berada di pasaran.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan