Afdlin Tubuh 'Akademi Bintang Afdlin Shauki'

Diterbitkan: Selasa, 11 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Afdlin Shauki. Foto AHMAD MOHSIN DADAMEAH
Afdlin Shauki. Foto AHMAD MOHSIN DADAMEAH

PETALING JAYA: Atas kesedaran mahu mengasah dan mengajar tentang industri hiburan tempatan buat bakat-bakat baru, pengarah dan pelakon Afdlin Shauki bakal menubuhkan Akademi Afdlin Bintang Afdlin Shauki pada tahun hadapan.

Afdlin atau nama sebenarnya Afdlin Shauki Aksan berkata, selepas mengumpul pelbagai pengalaman dan selok belok dunia perfileman di negara ini, sudah tiba masanya untuk dia berkongsi ilmu yang dikumpul kepada golongan yang benar-benar serius dalam bidang lakonan.

"Saya mendapat banyak mesej di Facebook yang ingin menjadi pelakon sedangkan mereka tidak sedar apa perkara wajib yang mesti mereka tahu sebelum memasuki bidang ini.

"Sebab itu saya ingin menubuhkan Akademi Bintang Afdlin Shauki. Saya mahu mengumpulkan pelakon yang benar-benar faham dengan perniagaan industri hiburan.

"Pada pendapat saya tidak ramai pelakon yang tahu mengenai selok belok industri kita tidak kiralah daripada segi lakonan sehinggalah ke bahagian pengurusan, sedangkan ia amat penting bagi para penggiat seni," katanya yang ditemui selepas tayangan filem Untuk Tiga Hari di GSC Pavillion, di sini, Isnin.

Bagaimanapun, sebelum itu, Afdlin akan mengadakan sebuah seminar khas iaitu Akademi Bintang Industri Afdlin Shauki Intensive selama 3 hari pada November depan.

Seminar tersebut akan dikendalikan oleh Afdlin sendiri bersama dengan beberapa penggiat seni lain dan selepas itu pihaknya akan menapis dua peserta terbaik untuk dibimbing sehingga menjadi pelakon yang berjaya.

Sementara itu, mengenai Untuk Tiga Hari terbitan Tarantella Pictures Sdn Bhd, ia merupakan filem adaptasi novel yang pertama diarahkannya.

Menurut Afdlin, filem tersebut agak mencabar daripada segi menjaga karya asal milik Ahadiat Akashah agar jalan penceritaannya tidak lari daripada cerita asal.

"Tidak mudah sebenarnya untuk mengadaptasikan semua cerita dalam novel ke filem. Jadi saya pilih babak-babak yang penting dengan mengolahnya kepada bentuk komedi sedikit.

"Kalau nak tahu filem yang dihasilkan telah melebihi jumlah masa yang biasa ditayangkan di pawagam, dan kami terpaksa memotong pelbagai babak-babak menarik untuk menjadikannya kepada 1 jam 30 minit.

"Sehinggakan watak Nabil (Raja Lawak) yang sepatutnya ada dalam filem ini pun kena buang. Mujurlah dia memahami dengan situasi ini," tuturnya.

Untuk Tiga Hari mengisahkan mengenai hubungan cinta Zafrin dan Ujie yang berada didalam persimpangan dilema apabila mereka terpaksa melupakan cinta untuk berkahwin dengan calon pilihan keluarga.

Zafrin mengahwini Juwita dan Ujie berkahwin dengan Armi seorang lelaki kaya yang romantik.

Untuk membuktikan cinta sejati mereka, Zafrin dan Ujie berjanji untuk meneruskan juga perkahwinan aturan keluarga itu tetapi akan berusaha bercerai setelah tiga hari berkahwin.

Selain Afdlin yang turut berlakon dalam filem ini, barisan pelakon lain ialah Vanidah Imran, Rashidi Ishak, Zizan Nin, Zizan Razak, Dira Abu Zahar dan Ainul Aishah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan