Sofia Jane, Lisa Surihani Terokai Peribadi Siti Hasmah

Diterbitkan: Sabtu, 8 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Lisa Surihani (kiri) dan Sofia Jane kagumi kebijaksanaan dan perjuangan Tun Dr Siti Hasmah terhadap pendidikan. - Foto oleh ART CHEN
Lisa Surihani (kiri) dan Sofia Jane kagumi kebijaksanaan dan perjuangan Tun Dr Siti Hasmah terhadap pendidikan. - Foto oleh ART CHEN

KUALA LUMPUR: Hasrat untuk mengenali Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang merupakan isteri kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan lebih mendalam menjadi faktor utama bagi dua aktres berlainan era Sofia Jane dan Lisa Surihani untuk membawakan watak tokoh itu dalam Tribute Teater Tun Dr Siti Hasmah.

Sofia atau nama sebenarnya Sofia Jane Hisham, 40, berkata, dia berasa teruja untuk menerokai sisi berbeza Tun Dr Siti Hasmah sebagai persiapan untuk lebih mengenali wanita berusia 86 tahun itu.

“Saya mahu menggali dan mengenali lebih mendalam sisi berbeza dan kisah-kisah Tun (Siti Hasmah) yang tidak pernah dipaparkan media kepada khalayak umum selama ini.

“Secara peribadi, saya kagumi dengan kekuatan luaran dan dalaman beliau dalam melaksanakan pelbagai tugas dan tanggungjawab iaitu ibu, isteri, doktor dan pemimpin dengan sempurna dan disegani.

“Seperti kita ketahui, aura kehadiran Tun dalam kehidupan rakyat Malaysia sangat dirasai biarpun dia tidak pernah menonjolkan dirinya di hadapan tetapi setia berada di belakang Tun Dr Mahathir,” katanya.

Sofia berkata, watak sebagai Tun ketika fasa dewasa itu merupakan pengalaman ketiga dia memainkan watak biografi tokoh wanita selepas Lijah dalam teater Malam Ini Penyu Menangis dan Natrah (Natrah).

“Saya suka memainkan watak wanita yang memberikan inspirasi kepada semua. Tun adalah inspirasi saya dan semua rakyat Malaysia dan ia adalah satu penghargaan buat saya.

“Saya akui agak keberatan untuk menerima watak ini sebelum tarikh pementasannya ditunda kerana tempoh latihan yang suntuk tidak memadai untuk pementasan besar ini.

“Apabila dimaklumkan ia dianjakkan ke November, saya berasa lega kerana punyai lebih masa untuk lebih mendalami beliau,” katanya.

Lisa Surihani yang menggalas watak sebagai Tun ketika usia muda sebelum mengahwini Dr Mahathir berkata, kebijaksanaan dan kerendahan hati wanita itu menyuntik keinginan kepadanya menjayakan peranan tersebut.

“Ini adalah peluang dan pengalaman bernilai buat saya. Tak pernah termimpi dapat memainkan watak tokoh besar yang bijak, rendah diri dan luhur seperti Tun.

“Saya terima cabaran ini walaupun ia bukan mudah dan perlu beri penekanan pada sebutan, teknik pernafasan dan lontaran suara,” katanya yang bakal dilamar sebagai juri Maharaja Lawak Mega 2012, tidak lama lagi.

Tribute Teater Tun Dr Siti Hasmah arahan Erma Fatima ini turut dibintangi Esma Daniel sebagai Tun Dr Mahathir dewasa dan Nazim Othman (watak Tun ketika muda) bersama kira-kira 25 pelakon lain.

Ia bakal dipentaskan bermula 9 hingga 19 November depan di Panggung Sari, Istana Budaya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan