Diana Danielle Janji Tidak Tinggalkan Ibu Selepas Jadi Isteri

Diterbitkan: Khamis, 6 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Diana Danielle.
Diana Danielle.

KUALA LUMPUR: Pelakon jelita Diana Danielle tidak akan meninggalkan ibunya, Norsiah Ramli serta adik angkat, Halley Hayden walaupun sudah berumah tangga dengan Farid Kamil yang dijadualkan pada tahun hadapan.

Diana atau nama sebenarnya Diana Danny Beeson, 21, berkata, sebagai anak tunggal, ibu dan Halley menjadi keutamaannya walau apa pun yang berlaku.

"Walaupun sudah berkahwin nanti, saya tidak akan tinggalkan ibu dan Halley. Mereka adalah keutamaan saya dan kami akan sentiasa bersama.

"Malah rumah saya di Damansara juga tidak akan saya jual. Mungkin selepas bergelar isteri nanti, saya akan ada dua rumah," katanya.

Diana ditemui pada sidang akhbar filem animasi 3D, Supersquad The Movie di Saloma Bistro di sini, Rabu.

Diana dan Farid telah mengikat tali pertunangan pada Ahad lalu di kediaman Diana di Damansara dekat selepas menyulam cinta selama tiga tahun.

Majlis berlangsung sekitar pukul 4 petang di mana Diana menerima sebentuk cincin yang disarungkan oleh ibu Farid.

Pihak perempuan memberi lima dulang hantaran berbalas tiga dulang daripada pihak lelaki yang antaranya seperti senaskhah Al-Quran, pakaian dan kasut.

Dalam pada itu, Diana juga bersyukur apabila para peminat menerima berita pertunangan itu dengan hati terbuka meskipun majlis tersebut diadakan secara tertutup.

"Alhamdulillah, saya bersyukur sangat apabila tiada yang mempertikaikan pertunangan ini.

"Ia bukannya sebuah majlis pernikahan pun. Cuma ia majlis yang menjadi sebahagian daripada adat Melayu kita. Ini juga satu perkara yang peribadi. Tetapi, jika ada yang bertanya mengenainya, saya tidak akan sorok," tuturnya.

Sementara itu, mengenai filem animasi Supersquad yang bakal ditayangkan di pawagam pada Disember 2013, Diana telah menyumbangkan suaranya bagi watak Elly.

Filem animasi yang diterbitkan oleh Netcarbon Sdn Bhd turut menampilkan pelakon Aaron Aziz sebagai Laksamana Aaron, Dafi (Kapten Danny), Radhi Khalid (Blinq), Marina Tan (Alan), Elza Irdawati (Sasha) dan Megat Sharizal (Zeeboz).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan