Pasaran Terhad Punca Fly FM Di Nombor Dua

Diterbitkan: Sabtu, 1 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Barisan penyampai dan tenaga kerja Fly FM bersama Pengurus Besar Program Rangkaian Radio Media Prima Anida Mohd Tahrim (duduk, bertudung merah jambu) pada majlis rumah terbuka stesen radio itu, malam Khamis. - Foto oleh SHAARI CHE MAT
Barisan penyampai dan tenaga kerja Fly FM bersama Pengurus Besar Program Rangkaian Radio Media Prima Anida Mohd Tahrim (duduk, bertudung merah jambu) pada majlis rumah terbuka stesen radio itu, malam Khamis. - Foto oleh SHAARI CHE MAT

KUALA LUMPUR: Kegagalan Fly FM untuk menginjak pada kedudukan pertama bagi stesen radio swasta berbahasa Inggeris selepas tujuh tahun ditubuhkan berpunca daripada saiz pasaran dan pendengar yang kecil berbanding radio berbahasa Malaysia.

Menurut Pengurus Besar Program Rangkaian Radio Media Prima, Anida Mohd Tahrim, keadaan itu turut dipengaruhi saingan sengit daripada pelbagai stesen radio bahasa Inggeris lain yang turut berkongsi peratusan pendengar dalam pasaran yang terhad itu.

“Tiada apa yang silap dengan percaturan dan pengisian stesen ini tetapi faktor yang merencatkan laluan kami untuk mengungguli kedudukan pertama berpunca daripada persaingan sengit stesen radio lain.

“Malah, jumlah pendengar yang kecil bagi radio berbahasa Inggeris berbanding radio berbahasa Malaysia turut menjadi faktor. Namun, kami berkembang dengan baik saban tahun,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka radio itu di Jeumpa D’ramo, Bangsar di sini, malam Khamis lalu.

Majlis yang julung kali dianjurkan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan penyampai Fly FM dan 70 pendengar setia.

Pada majlis yang sama, Fly FM turut bersiaran secara langsung selama empat jam bermula pukul 7 hingga 10 malam menerusi segmen carta lagu iaitu Fly 30 setiap hari.

Anida berkata, usaha dan kreativiti pesaing lain menerusi pelbagai kempen dan pengisian masing-masing menjadi motivasi dan kayu ukur bagi pihaknya untuk menilai prestasi semasa mereka.

“Berada pada tangga kedua selepas Hitz FM, kita sebenarnya pada kedudukan yang baik dan stabil dengan sekitar 700,000 pendengar setakat ini.

“Namun, kami tidak pernah berasa selesa dan persaingan radio lain adalah sesuatu yang baik agar kami menjaga prestasi dan menawarkan kandungan yang segar dari masa ke semasa,’ katanya.

Mengenai strategi dan perancangan jangka pendek, Ketua Program Fly FM, Adam Zain berkata, pihaknya kini menyasarkan pendengar muda yang ceria, aktif dan suka mengambil risiko dan cabaran sebagai usaha terbaru untuk mengembangkan jenama radio tersebut.

“Kita tidak pernah mengalah untuk terus memikat pendengar sasaran baru menerusi pelbagai konsep dan pengisian pada Fly FM.

“Sebagai contoh, sepanjang September bermula Isnin depan kita akan memperkenalkan kempen 500 Jam yang memberikan peluang kepada pendengar untuk memenangi wang tunai dengan meneka tajuk lagu yang diputarkan.

“Tekaan yang salah akan meningkatkan jumlah wang terkumpul untuk tekaan lagu yang berikutnya,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan