'29 Februari' Tiada Kaitan Dengan Patriotik

Diterbitkan: Rabu, 29 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Edry menyelitkan pelbagai peristiwa penting negara dalam filem terbaru arahannya 29 Februari. Foto FAIHAN GHANI.
Edry menyelitkan pelbagai peristiwa penting negara dalam filem terbaru arahannya 29 Februari. Foto FAIHAN GHANI.

PETALING JAYA: Pengarah filem 29 Februari Edry Abdul Halim menjelaskan karya terbarunya itu bukan bertemakan patriotik walaupun banyak memasukkan elemen sejarah sebaliknya ia adalah sebagai satu bentuk naratif penceritaan yang menggambarkan kehidupan seorang lelaki istimewa bernama Budi lakonan Remy Ishak.

Edry, 36, berkata, penggunaan visual lama ketika penjajahan British, Jepun sehinggalah sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 adalah sebagai gambaran keistimewaan Budi yang kelihatan masih muda walaupun dilahirkan pada tahun 1892.

"Tema filem ini bukan patriotik kerana saya mengangkat konsep biografi fantasi sebagai asas utama yang belum pernah dibuat oleh mana-mana penerbit atau pengarah di negara ini.

"Visual lama digunakan seiring dengan perkembangan watak Budi yang melalui pelbagai peristiwa penting dalam negara sehingga tahun 2012," katanya kepada mStar Online selepas ditemui pada majlis pratonton filem terbaru terbitan KRU Studios itu di sini pada malam Selasa.

Bagaimanapun Edry tidak menafikan semua visual lama yang dimasukkan dalam filem itu secara tidak langsung dapat mengingatkan semula memori terhadap kejadian-kejadian yang pernah berlaku di negara ini sebelum kemerdekaan.

"Pada yang pernah melalui beberapa peristiwa yang dipaparkan ia dapat menyegarkan memori mereka dan pada generasi baru ia sebagai satu bentuk pengetahuan secara tidak langsung buat mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Edry berkata dia mengambil masa hampir enam bulan untuk membuat kajian di Filem Negara serta mencari visual yang sesuai untuk digunakan dalam filem itu.

Menurut Edry, kebanyakan visual sudah berada dalam keadaan yang tidak memuaskan dan perlu mengambil masa untuk diperbaiki supaya ia sesuai dengan format 3 Dimensi (3D) yang cuba dilaksanakan dalam karya ini.

"Kami turut mengambil masa selama dua bulan mencantikkan visual hitam putih itu dengan memasukkan warna bagi memberikan impak berbeza kepada penonton terutama yang menonton menerusi 3D," ujarnya.

Sementara itu, Edry berkata, dia berharap filem 29 Februari itu akan mendapat perhatian dan sambutan daripada penonton kerana ia adalah sebuah filem Malaysia dengan sentuhan berbeza daripada KRU Studios.

Edry memberitahu, filem ini bukan sahaja mempunyai kekuatan daripada segi jalan cerita dan lakonan para pelakonnya tetapi teknologi 3D serta kesan khas (CGI) dan skor muzik, penataan bunyi memberikan kelainan.

"Lakonan mantap daripada Remy dan Jojo Goh memang tidak dapat disangkal namun kelainan yang tidak pernah ditonjolkan dalam filem lain di Malaysia menjadi filem ini istimewa," ujarnya.

Filem ini mengisahkan mengenai Budi yang dilahirkan pada 29 Februari 1896 dan hanya dimakan usia setiap empat tahun dengan fizikal yang tidak berubah dan melalui pelbagai rintangan dalam hidupnya.

Selain Remy dan Jojo, 29 Februari turut dilakonkan oleh Izzue Islam, Fizz Fairuz, Dian P. Ramlee, Muniff dan Namron.

Ia bakal ditayangkan kepada umum bermula 30 Ogos ini dalam tiga format berbeza iaitu 3D, 2D dan 35mm secara serentak di 79 buah pawagam di seluruh negara.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan