Finas Bantu Perkukuh Kewangan Industri FilemTempatan

Diterbitkan: Ahad, 26 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Naguib Razak.
Naguib Razak.

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan melaksanakan beberapa inisiatif untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan industri filem tempatan serta membantu penerbit tempatan meluaskan pasaran mereka, kata Ketua Pengarahnya Naguib Razak.

Bercakap kepada Bernama pada Sabtu, beliau berkata antara inisiatif yang akan dilaksana dalam masa terdekat ialah perbincangan meja bulat industri kreatif di Malaysia pada 20 Sept ini, dengan memberi fokus terhadap penerbitan filem bersama International Investor, sebuah firma penyelidikan antarabangsa yang menyediakan maklumat berkaitan perniagaan di negara ini.

Katanya setakat ini, perbincangan yang bakal diadakan itu menarik minat beberapa personaliti tempatan dan antarabangsa yang terkenal dalam bidang pembiayaan dan penerbitan filem untuk berbincang tentang cara memajukan industri filem di Malaysia.

Antara yang diundang ialah Datuk Mohd Sharil Tarmizi, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM); Datuk Amrin Amwaluddin, Pengarah Urusan, Media Prima; Norman Halim, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KRU Studios; Low Huoi Seong, CEO Vision New Media; May Quah, Pelaburan, Khazanah Nasional; Mike Lake, CEO Pinewood Studios; Keiko Hagihara Bang, CEO Bang Productions; Pieter Aquilia, Dekan Bersekutu, Tisch Asia; dan Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, Pengarah Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri (Pemandu).

Naguib berkata pembiayaan merupakan isu yang amat penting dalam penerbitan filem dan memandangkan industri filem tempatan kini mencatat pencapaian kukuh dari segi pendapatan dan penembusan pasaran, kini tiba masanya tumpuan serius diberi terhadap usaha meraih lebih banyak peluang serta mencari jalan untuk memastikan industri ini dapat diurus dengan lebih mantap.

Dalam hubungan ini kata beliau, Finas akan membantu penerbit filem tempatan menguasai asas perniagaan baik dan melahirkan model perniagaan baik untuk mencapai kejayaan lebih besar, termasuk dari segi sambutan 'box office' supaya mereka boleh menarik lebih banyak pelabur atau penyokong kewangan.

Kata Naguib walaupun sesetengah filem yang dihasilkan mengalami kegagalan, perkara seperti itu boleh berlaku di mana saja, termasuk di Hollywood, tetapi perkara penting ialah mempelajari cara untuk membina kejayaan.

"Tidak ada jaminan (kejayaan) bagi sesebuah filem, tetapi secara keseluruhannya (di Malaysia), kita menyaksikan semakin banyak kisah kejayaan," katanya.

Beliau berkata Finas berharap dapat menarik dan membuka mata sektor perbankan serta penyedia modal teroka tentang kewujudan pelbagai peluang atau projek yang menggembirakan pihak bank dalam industri penerbitan filem di Malaysia.

"Di pihak kami pula, kami mahu penggiat industri kreatif mempelajari cara menyusun perniagaan mereka secara berhemat daripada segi kewangan, termasuk mengamalkan kaedah dokumentasi yang sewajarnya agar mereka mendapat keyakinan daripada sektor kewangan," katanya.

Naguib berkata Finas juga gembira dengan kejayaan filem tempatan yang bukan saja diterbitkan dalam bahasa Melayu, tetapi juga dalam bahasa Cina, yang sesetengahnya berjaya memasuki pasaran antarabangsa.

"Terdapat potensi besar bagi filem dalam bahasa lain seperti Cina dan Tamil untuk terus dimajukan di Malaysia. Tahun lepas, kita melihat kejayaan besar dicapai filem berbahasa Cina, contohnya 'Nasi Lemak 2.0', yang meraih pendapatan RM7 juta, malah 'Great Day', yang mencapai kejayaan lebih besar, dan kami mendapat maklumat bahawa beberapa filem Cina tempatan berjaya menembusi pasaran di tanah besar China. Terdapat juga petunjuk kukuh tentang minat pihak dari Bollywood untuk menghasilkan filem India di Malaysia," katanya.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, antara filem terbitan tempatan paling popular ialah "Petaling Street Warriors" (Mandarin), "Ice Kacang Puppy Love" (Mandarin), "Ah Beng: Three Wishes (Mandarin),"KL Gangster" (Melayu), "Ombak Rindu" (Melayu), "Hantu Bonceng" (Melayu), "The Tuff Nuts" (Tamil) dan "KIDNAP: The Crime Begins" (Tamil).

Memandangkan wujudnya potensi besar bagi filem tempatan pada masa akan datang, Naguib berharap para penerbit filem tempatan akan memanfaatkan bantuan yang ditawarkan Finas untuk menghasilkan bukan saja filem Melayu, Cina atau India yang baik, tetapi juga filem berbahasa Inggeris. -BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan