Halim, Linda, Tyzo & Reza Cerita Kisah Sambut Raya

Diterbitkan: Selasa, 21 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Linda Oon sudah berpengalaman bekerja pada hari raya.
Linda Oon sudah berpengalaman bekerja pada hari raya.

PETALING JAYA: Sambutan Syawal memberi makna buat tiga deejay popular Suria FM iaitu Linda Onn, Halim Othman dan Tyzo apabila mereka memilih untuk bercuti semata-mata mahu meraikannya dalam suasana kampung.

Bagi Halim Othman, dia akan kembali ke kampung halaman di Kuala Terengganu, Terengganu untuk berhari raya bersama keluarga sebelum memulakan kembali tugas pada Hari Raya ketiga.

Kata Halim, pengalaman menyambut Syawal di tempat kerja sebelum ini bukanlah sesuatu yang sukar buat dirinya tambahan pula dia pernah tujuh tahun menyambut perayaan itu di studio.

Bagaimanapun apabila berpeluang beraya di kampung halaman, dia akan mengenang semula pengalaman lalu apabila terpaksa berbaju Melayu ketika datang ke pejabat untuk melayan pendengar.

“Sebenarnya berhari raya di bandar pun seronok juga kerana kita dapat menyambut Aidilfitri dengan rakan-rakan daripada bangsa lain," ujarnya kepada mStar Online.

Bagi Tyzo pula, dia bernasib baik kerana kampung halamannya tidak begitu jauh daripada Kuala Lumpur iaitu Ipoh dan masih boleh ulang-alik bagi menyambut Hari Raya walaupun bekerja.

"Pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah ketika beraya tiga tahun lepas kerana selepas bermaaf-maafan dengan keluarga di Ipoh saya terus bergegas kembali ke Kuala Lumpur untuk ke udara selama dua jam sebelum kembali semula ke kampung," katanya.

Penyampai radio Suria FM iaitu Linda Onn memberitahu panggilan pendengar semasa Hari Raya Aidilfitri adalah peneman setia buat mereka yang perlu bekerja di studio pada hari istimewa itu.

Linda berkata, walaupun tahun ini dia berhari raya di kampung halaman tetapi memori tersebut sentiasa terpahat di hatinya yang perlu berkorban kerana radio harus bersiaran tanpa henti.

"Ia bukanlah satu memori yang terlalu indah jika ditanya tetapi apabila perlu bekerja pada Hari Raya, pendengar adalah peneman paling setia dan membuatkan kita sebagai penyampai radio berasa gembira.

"Tambah manis apabila ada yang sudi untuk membuat panggilan dan mengucapkan selamat Hari Raya cukup memberi makna," ujarnya.

Dalam pada itu, penyampai baru Suria FM, Reza Mohamad memberitahu sepanjang bergelar penyampai radio, berkongsi kemeriahan dan keterujaan pendengar yang menghubunginya di studio walaupun sibuk dengan persiapan terakhir sering mencuit hati.

Malah kata Reza, ada kalanya dia sendiri terlupa bahawa dia tidak dapat berhari raya di kampung kerana perlu bekerja.

"Suka atau tidak kita perlu teruskan tetapi bila dikenangkan kembali ia cukup seronok," ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan