Fahrin Ahmad Cemburu Lihat Adik-Adiknya Beraya

Diterbitkan: Selasa, 21 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Fahrin - Foto GLENN GUAN
Fahrin - Foto GLENN GUAN

PETALING JAYA: Pelakon Fahrin Ahmad meluahkan rasa cemburu apabila melihat adik-adiknya bahagia menyambut Aidilfitri di samping isteri dan anak masing-masing.

Fahrin, 33, berkata, hal itu membuatkan dia mula berasa bosan untuk melalui bulan Syawal setiap tahun dengan melihat dirinya melakukan rutin yang sama setiap kali menjelangnya Hari Raya.

"Secara jujurnya, saya lebih menikmati Ramadan daripada bulan Syawal. Lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini, saya dah mula rasa tak suka beraya sendirian apabila perasaan cemburu muncul melihat kebahagiaan adik-adik di samping isteri dan anak-anak mereka.

"Ia membuatkan saya sedar raya pada setiap tahun hanyalah sebuah rutin biasa sehinggalah saya beristeri. Insya-Allah, saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat diri," katanya.

Bagaimanapun tambah Fahrin, agak menarik sambutan Aidilfitri pada tahun ini apabila dia dikehendaki untuk membantu ibunya memasak memandangkan adik dan kakaknya menyambut Hari Raya pertama di rumah mertua masing-masing.

"Ibu dah awal-awal pesan kepada saya untuk pulang ke kampung di Johor lebih awal.

"Maklumlah, ibu tak sihat dan perlu berehat secukupnya, tambahan pula dia berkerusi roda. Jadi dia akan duduk di dapur dan memberi arahan, resipi dan memantau kerja saya di dapur.

"Secara teknikalnya, sayalah tukang masaknya tetapi tak pandai masak. Mana tahu, lepas raya nanti saya dah pandai masak pula," selorohnya.

Dalam pada itu, Fahrin juga suka melayan kanak-kanak yang berkunjung ke rumahnya dengan memberikan mereka duit raya.

"Saya suka beri duit Raya pada kanak-kanak tetapi sebelum itu saya akan bertanya, ‘ni datang nak beraya ke nak duit raya...?’ Biasanya kalau mereka nampak saya, mulalah nak tersengih-sengih," ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan