Hanez Suraya Tunggu 9 Tahun Untuk Popular

Diterbitkan: Ahad, 19 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Hanez Suraya
Hanez Suraya

PETALING JAYA: Tempoh selama sembilan tahun untuk dikenali ramai tidak pernah mematahkan semangat aktres Hanez Suraya daripada terus berusaha membina nama.

Pemilik nama Hanez Suraya Abd Aziz, 27, ini berkata, selepas 10 tahun bergelar anak seni namanya hanya dikenali sejak setahun yang lalu selepas membintangi drama Suri (TV3).

“Saya tidak pernah putus asa untuk terus berusaha menempatkan diri dalam dunia lakonan tanah air. Kalau diikutkan, saya muncul pada era yang sama dengan Fazura dan Sheera Iskandar tetapi nama saya lambat naik.

“Sembilan tahun saya menunggu hanya pada tahun lalu nama ini semakin dikenali dan mendapat perhatian. Namun, saya bersyukur kerana sepanjang proses itu saya dapat belajar banyak perkara termasuk disiplin, tindak-tanduk dan hubungan dengan media,” katanya ketika ditemui mStar Online.

Kekasih kepada penyanyi Awi Rafael ini berkata, susulan itu dia juga semakin berkeyakinan untuk tampil di khalayak dan berdepan pihak media.

“Sebelum ini, memang saya sangat pemalu dan tiada keyakinan terutamanya bila muncul di majlis hiburan atau berhadapan pihak media.

“Saya belajar mengenai etika, keyakinan diri, penampilan dan solekan daripada jurusolek yang berpengalaman. Daripada situ, keyakinan diri makin meningkat pada hari ini,” luahnya.

Mengenai sambutan Aidilfitri pada tahun ini, Hanez berkata, dia pulang meraikan Hari Lebaran di kampung ibunya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan selama seminggu.

“Saya sibuk di lokasi penggambaran untuk dua minggu pertama Ramadan lalu, jadi tidak sempat untuk membuat tempahan baju kurung.

“Pada tahun ini, saya beli baju yang sudah siap saja lagipun baju tahun lepas pun masih ada lagi,” katanya yang bakal bercuti sehingga penghujung bulan ini.

Bersempena Hari Raya, Hanez bakal muncul dalam telefilem berjudul Raya Tanpa Wayar pada Ahad (hari ini) pukul 12.30 tengah hari di TV9 dan 48 Jam pada Raya kedua, 6 petang di TV3.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan