Cabaran Fauziah Gambus Rakam Lagu Raya Di Bulan Ramadan

Diterbitkan: Jumaat, 17 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Fauziah gambus melancarkan dua buah lagu raya untuk peminat.
Fauziah gambus melancarkan dua buah lagu raya untuk peminat.

PETALING JAYA: Bintang baru iaitu Fauziah Gambus mengakui kredibiliti dirinya sebagai penyanyi dan pemuzik tercabar apabila terpaksa merakamkan dua buah lagu bertemakan Hari Raya pada bulan Ramadan.

Fauziah atau nama sebenarnya Fauziah Suhaili berkata, dia dan penerbit album mini tersebut, AG Coco telah bertungkus lumus menyiapkan lagu yang berjudul Pemergian Ayah dan Ibu dan Ceria Di Hari Raya sejak awal Ramadan lalu dan hanya siap sepenuhnya baru-baru ini.

"Cabaran memang kuat kerana merakamkan lagu pada bulan Ramadan bukan mudah tetapi saya mengambil sudut yang positif dalam menyiapkan dua buah lagu tersebut.

"Malah dengan keberkatan dan rahmat bulan mulia ini saya berjaya menyiapkan lagu tersebut," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Fauziah berkata, idea merakamkan lagu raya telah lama terpendam namun kesibukan dan kekangan masa telah menyebabkan ia tergendala.

Kata Fauziah dia tidak mahu terburu-buru menghasilkan album tersebut kerana rakaman setiap alat muzik dibuat secara berperingkat supaya hasilnya memuaskan.

"Seperti lagu Pemergian Ayah dan Ibu mengambil masa hampir enam hari untuk disiapkan kerana rakaman dibuat secara berperingkat menggunakan pemuzik dan jurutera bunyi profesional.

"Saya tidak mahu jika ia dibuat secara tergesa-gesa ia kana menyebabkan hasilnya kurang memuaskan,' katanya.

Sementara itu, Fauziah memberitahu dia turut mencipta lagu Ceria di Hari Raya yang membawa konsep irama etnik kontemporari dengan campuran elemen Latin dan Melayu.

Kata Fauziah lagu tersebut menceritakan mengenai senario menjelang sambutan Syawal iaitu keceriaan, keterujaan dan kegembiraan.

"Saya sudah mengubah lagu tersebut sejak tahun lalu namun terpaksa menyimpan terlebih dahulu dan baru tahun ini ia dapat direalisasikan apabila AG Coco bersetuju untuk menerbitkan lagu tersebut.

Dalam perkembangan lain, Fauziah bakal muncul dengan persembahan akustik pada 31 Ogos dan 2 September depan di perkarangan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bersama kumpulan The Geng.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan