Album Baru 6ixth Sense Bukan Nak Tunjuk Alim

Diterbitkan: Ahad, 12 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

6ixth Sense teruja dengan kemunculan album Tentang Kita.
6ixth Sense teruja dengan kemunculan album Tentang Kita.

PETLAING JAYA: Kumpulan 6ixth Sense menjelaskan kemunculan album terbaru mereka berjudul Tentang Kita yang mempertaruhkan genre ketuhanan bukan bermaksud untuk berlagak alim di mata peminat.

Vokalisnya Adi berkata, tujuan mereka tampil dengan konsep berkenaan adalah untuk sama-sama berkongsi muzik berbentuk kerohanian dengan para peminat mereka dan saling ingat mengingati antara satu sama lain.

"Sebagai seorang manusia kita masing-masing ada tanggungjawab terhadap orang lain dan peluang merakamkan album ini adalah salah satu cara untuk kami mendekati masyarakat dan peminat selain bersama-sama menikmati muzik tersebut.

"Bukan untuk menunjuk baik dan jauh sekali berlagak alim tetapi ini adalah satu bentuk perkongsian ilmu dalam muzik dan berharap kita semua akan mendapat kebaikan dan faedah," ujarnya kepada mStar Online.

Kumpulan itu ditemui selepas majlis pelancaran album terbaru mereka di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Adi memberitahu dia sukar untuk mencipta lirik empat buah lagu baru dalam album berkenaan kerana tidak mahu menulis tentang perkara yang terlalu ekstrem buat peminat.

Katanya buat permulaan dia ingin berdakwah melalui lagu-lagu ketuhanan dengan cara yang ringkas dan mudah.

"Seperti saya kata kami bukan nak tunjuk baik atau mengajar orang jadi baik menerusi album ini dan sebab itu saya mencari satu titik sesuai supaya lirik yang ditulis sesuai dan mudah diterima.

"Atas sebab itu saya menggunakan tema seperti kasih sayang terhadap ibu bapa, kedamaian dan sebagainya untuk album ini. Secara dasarnya saya membuat lirik sebagai peringatan kepada diri saya yang juga tidak sempurna," katanya.

Sementara itu, Adi akan terus menghasilkan album berbentuk kerohanian selepas ini kerana memang telah memasang hasrat untuk tampil dengan konsep sedemikian.

Album Tentang Kita itu memuatkan enam buah lagu iaitu Penerang Hati(duet bersama Saujana), Ayah dan Ibu, Damai Yang Hilang, Rasulullah, Cintaku Padamu Seluas Angkasa dan Altar Cinta.

Telah pun berada di pasaran pada 3 Ogos lalu, Tentang Kita diilhamkan oleh penerbit Mujahid Abdul Wahab yang bertanggungjawab terhadap kejayaan kumpulan itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan