Hanez Suraya Anggap Tuduhan Canang Kisah Cinta Hanya Salah Faham

Diterbitkan: Jumaat, 10 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Hanez Suraya
Hanez Suraya

PETALING JAYA: Pelakon Hanez Suraya menyifatkan tuduhan dia bersikap keterlaluan dalam mencanangkan kisah hubungannya dengan penyanyi Awi Rafael timbul kerana salah faham pihak tertentu.

Hanez atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abd Aziz, 27, berkata, salah faham itu berlaku kerana penyanyi dari Singapura tersebut sukar dihubungi berbanding dirinya bagi mendapatkan kesahihan mengenai hubungan mereka sebelum ini.

“Saya percaya tuduhan yang mengatakan saya kelihatan terhegeh-hegeh dalam hubungan kami berpunca daripada kesukaran pihak media mendapatkan penjelasan Awi sebelum ini.

“Apabila orang mudah mendapatkan kenyataan saya mengenai hubungan kami, mungkin daripada situ timbul persepsi saya lebih beria-ia sedangkan Awi hanya mendiamkan diri,” katanya ketika ditemui mStar Online.

Ditanya mengenai penerimaan keluarga terhadap hubungan mereka, pelakon drama bersiri 3 Janji ini berkata, keluarga kedua-dua belah pihak memberikan restu setakat ini.

“Alhamdulillah, hubungan kami direstui kedua-dua belah keluarga walaupun kami baru berkawan kira-kira enam bulan.

“Apa juga cerita yang kurang manis mengenai Awi sebelum ini termasuk isu tatu di badannya tidak menimbulkan persepsi buruk pada keluarga saya kerana kami menerima perubahan yang dilakukan dia,” katanya.

Mengenai aktiviti terbaru, Hanez berkata, dia kini hanya berehat dan memenuhi undangan fotografi serta majlis berbuka kerana sudah menamatkan komitmen lakonan untuk tempoh dua minggu pertama Ramadan.

Hanez bakal muncul dalam dua telefilem Raya berjudul Raya Tanpa Wayar untuk TV9 dan 48 Jam (TV3). Dia akan menyambung penggambaran telefilem Jane Jamilah selepas cuti Raya.

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan