Kedudukan Fouziah Gous Tidak Tergugat Kerana Artis Baru

Diterbitkan: Jumaat, 27 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Fouziah Gous
Fouziah Gous

PETALING JAYA: Persaingan sengit daripada lambakan aktres muda pada hari ini tidak menggugat kedudukan pelakon Fouziah Gous sebagai bintang televisyen.

Fouziah, 30, berkata, dia tidak berasa bimbang atau gentar dengan kemunculan aktres-aktres baru kerana percaya pada kemampuan dan komitmen kerjanya.

“Saya tidak perlu bimbang dengan adanya muka-muka baru kerana semua orang mempunyai rezeki masing-masing. Saya hanya menjadi diri sendiri dan menjaga mutu kerja agar sentiasa disenangi semua pihak.

“Berkat disiplin dan usaha yang berterusan, saya percaya peluang itu akan selalu ada,” katanya kepada mStar Online.

Katanya, persaingan yang sengit di kalangan aktres bagaimanapun tidak menghalang dia bersikap selektif dalam menerima tawaran lakonan.

“Selepas enam tahun berkecimpung dalam seni lakon, saya perlu bersikap lebih memilih dalam tawaran lakonan demi memantapkan profil.

“Memandangkan kerjaya saya cenderung pada drama televisyen berbanding filem, saya perlu pastikan lakonan saya dapat ditonton menerusi pelbagai stesen dan bukannya hanya menerusi sesebuah saluran sahaja,” katanya.

Mengenai kerjaya, Fouziah yang baru sahaja menamatkan penggambaran drama bersiri Dendam Sarakit untuk TV3 memutuskan untuk berehat sepanjang Ramadan ini kerana kepenatan dengan komitmen lakonan sebelum ini.

“Saya baru sangat menamatkan penggambaran Dendam Sarakit dua hari lepas. Sekarang saya hanya mahu berehat daripada lakonan.

“Sejak awal tahun, saya terlibat dengan komitmen lakonan secara berterusan. Ada beberapa tawaran yang belum sah lagi, tapi saya mahu menghabiskan masa di rumah dengan keluarga sahaja Ramadan ini,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan