Zed Zaidi Enggan Melatah Dikatakan Cedera Dalam Kemalangan

Diterbitkan: Khamis, 26 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Zed Zaidi
Zed Zaidi

PETALING JAYA: Pelakon Zed Zaidi menganggap penyebaran khabar angin di Internet yang mendakwa dia cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada awal pagi Rabu sebagai permainan dalam dunia hiburan.

Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abd Jamil, 32, berkata sebagai golongan selebriti, gosip dan khabar angin adalah lumrah yang harus ditempuhi kerana pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengawal apa juga tuduhan.

“Tiada apa yang pelik dengan dakwaan dan khabar angin sebegini. Biasalah, sebagai selebriti saya tidak boleh lari daripada perkara sebegini. Apa yang penting, semua pihak perlu dapatkan pengesahan terhadap apa jua cerita yang timbul daripada tuan punya badan atau keluarganya.

“Seperti yang saya nyatakan di Twitter pada hari ini (Rabu) sebagai pengesahan kepada khalayak, kemalangan itu hanyalah babak dalam telefilem terbaru lakonan saya berjudul Hijrah Jahiliyyah. Hakikatnya, saya berada dalam keadaan okey,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Rabu.

Zed Zaidi yang juga Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dikatakan terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Rabu dan berita itu tersebar dengan meluas menerusi Twitter.

Bagaimanapun berita berkenaan ternyata palsu kerana pelakon tersebut sebenarnya sedang melakonkan satu adegan kemalangan menerusi penggambaran telefilem Hijrah Jahiliyyah arahan Ismail Yaacob.

Katanya, lebih memburukkan keadaan apabila dia tidak menjawab mana-mana panggilan selepas penyebaran berita itu kerana skrin telefon bimbitnya pecah ketika melakonkan babak berkenaan sekali gus menyukarkan dia untuk menghubungi semula mereka yang menelefonnya.

Mengenai reaksinya berhubung penyebaran khabar angin itu, Zed berkata dia enggan melatah kerana menyedari statusnya sebagai selebriti yang sering menjadi perhatian umum.

“Saya terima khabar angin itu dengan hati terbuka. Tiada apa yang perlu saya marah atau kesalkan kerana sebagai selebriti, cerita seperti ini adalah perkara biasa.

“Selagi cerita yang timbul itu tidak memberikan kesan buruk, tidak apalah. Malah, penjelasan saya ini juga sudah memadai untuk meleraikan kekeliruan yang timbul,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan