Sifat Panas Baran Sharnaaz Beri Kesan Buruk

Diterbitkan: Khamis, 26 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Sharnaaz Ahmad
Sharnaaz Ahmad

PETALING JAYA: Pelakon Sharnaaz Ahmad berazam untuk mengawal sikap panas barannya disebabkan kekasihnya, penyanyi Shila Amzah agak kurang gemar dengan tabiat buruk itu.

Sharnaaz berkata, dia sedar sikapnya yang mudah melenting menunjukkan sifat dirinya yang kurang matang dan boleh memudaratkan daripada segi kesihatan dan kawalan diri.

"Memang saya seorang yang sangat panas baran dan mudah melenting. Pada mulanya Shila agak terkejut dengan tabiat buruk saya itu. Namun, dia terima saya seadanya.

"Apabila melihat Shila sanggup menahan tabiat buruk ini, saya berazam untuk berubah untuk diri, keluarga dan dia," katanya yang dihubungi mStar Online di sini Rabu.

Tambah Sharnaaz, dia berharap agar perubahan itu juga dapat menjadikannya kepada seorang yang lebih matang dan sabar dalam setiap dugaan yang dilalui.

Sementara itu, Sharnaaz memberitahu, sejak menjalinkan hubungan cinta dengan Shila, pelbagai dugaan yang terpaksa dilalui oleh mereka berdua.

Lebih-lebih lagi apabila gosip kemesraan mereka yang dianggap tidak manis dipandang orang membuatkan keluarga kedua-dua belah pihak turut dikritik sehinggakan ada yang meminta mereka agar segera bernikah.

"Walaupun terpaksa menempuh halangan iaitu kata-kata orang yang tidak senang dengan hubungan ini, kami masih lagi kuat untuk meneruskan percintaan ini.

"Berita-berita negatif yang dipaparkan di akhbar mengenai perhubungan ini juga sudah membuatkan kami lali dan tidak kisah dengan apa yang orang ingin katakan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Sharnaaz berkata, bulan Ramadan yang dilalui pada tahun ini begitu padat apabila dia terpaksa memenuhi banyak tawaran berlakon.

Malah, seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri, Sharnaaz akan memulakan penggambaran filem Darah Panas, terbitan White Merpati Sdn Bhd.

"Alhamdulillah, ini semua rezeki daripada Tuhan. Saya percaya keikhlasan pasti akan dibalas dengan keberkatan.

"Walaupun diduga dengan pelbagai kontroversi, saya bersyukur kerana masih lagi berdiri kukuh untuk terus maju dalam karier," ujarnya yang baru selesai menjalani penggambaran telefilem Bila Kerbau Berkubang, terbitan Astro.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan