Hilang Kepercayaan, AIM19 Rombak Proses Penghakiman

Diterbitkan: Khamis, 19 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Khairul Anuar Salleh (kiri) dan Rosmin Hashim memegang trofi AIM19 yang akan berlangsung pada 17 November 2012.
Khairul Anuar Salleh (kiri) dan Rosmin Hashim memegang trofi AIM19 yang akan berlangsung pada 17 November 2012.

KUALA LUMPUR: Ketidakpercayaan karyawan seni berhubung proses penghakiman Anugerah Industri Muzik (AIM) sebelum ini memaksa penganjur anugerah itu menukar strategi agar tiada rungutan terhadap keputusan pemenang bagi AIM ke 19 (AIM19) pada tahun ini.

Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur AIM19, Rosmin Hashim berkata, penggiat seni termasuklah para artis telah mencadangkan agar karya yang dipertandingkan perlu dihakimi oleh individu yang mahir dalam bidang muzik agar pemenang yang dipilih itu benar-benar memenuhi tuntutan anugerah tersebut.

“Pada tahun ini hanya individu terpilih dan pengamal industri muzik akan diberi tanggung jawab untuk menjadi hakim kerana ia adalah tuntutan penggiat seni sendiri berbanding proses yang dilakukan pada AIM lalu,” katanya kepada pemberita pada sidang media pengumuman kategori pencalonan dan syarat kelayakan AIM19 di Hotel Millennium di sini, Rabu.

Hadir sama Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairil Anwar Salleh.

Rosmin berkata, antara mereka yang akan dipilih bagi menilai karya-karya muzik dalam AIM pada tahun ini terdiri daripada komposer, penulis lirik, penerbit album serta individu yang mempunyai kemahiran dalam bidang berkenaan.

Katanya, ia berbeza pada proses sebelum ini apabila jemaah juri terdiri daripada mereka yang dilihat tidak mempunyai kemahiran khusus dalam bidang tersebut seperti pihak media, wakil stesen radio dan televisyen serta individu daripada syarikat-syarikat rakaman.

Jelasnya, perubahan ini terpaksa dilakukan selepas pihak AIM mendapat banyak rungutan daripada pelbagai pihak khususnya para artis dalam sesi dialog yang telah diadakan sebelum ini.

“Kami menghormati pandangan semua pihak dan mengambil keputusan untuk membuat perubahan terhadap sistem penghakiman pada tahun ini yang terdiri daripada pengamal dalam industri rakaman,” katanya.

Ditanya tidakkah terdapat keputusan yang dilihat berat sebelah kerana konflik kepentingan yang mungkin berlaku Rosmin berkata, pihaknya akan memastikan karya-karya yang diterima tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan juri yang dilantik.

Pihaknya juga kata beliau akan memaklumkan kepada umum senarai hakim selepas keputusan “top 5” diterima supaya semua pihak berpuas hati terhadap keputusan yang bakal diumumkan.

Dalam perkembangan berkaitan Rosmin berkata, pencalonan AIM19 pada tahun ini turut terbuka kepada lagu-lagu atau album dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang dikeluarkan di negara ini bermula 1 Julai 2011 hingga 30 Jun 2012.

Katanya, semua karyawan yang berhasrat mencalonkan karya masing-masing hendaklah menghantar pencalonan mereka sehingga 15 Ogos depan.

Tambahnya, AIM19 juga turut mengekalkan 19 kategori anugerah seperti tahun lalu selain memutuskan untuk mengadakan dua anugerah AIM berasingan bagi mengiktiraf pencapaian muzik dalam bahasa Cina dan India yang dijadualkan pertengahan tahun hadapan.

Dalam masa yang sama pihaknya juga turut mengalu-alukan karya daripada lagu-lagu daerah yang menggunakan loghat-loghat tertentu untuk turut serta menerusi kategori Lagu Pop Etnik Terbaik.

“Kami berharap kalau ada lagu-lagu Kelantan, Sabah atau Sarawak, mereka boleh menghantar penyertaan mereka untuk diadili,” katanya.

Kemuncak AIM19 akan diadakan pada 17 November 2012 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor dan akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria.

Berikut ini 19 kategori pencalonan AIM19

1. Artis Baru Terbaik

2. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki)

3. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita)

4. Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu

5. Kulit Album Terbaik

6. Rakaman Album Terbaik

7. Video Muzik Terbaik

8. Lagu Pop Etnik Terbaik

9. Lagu Nasyid Terbaik

10. Lagu Rock Terbaik

11. Lagu Pop Terbaik

12. Lagu Hip Hop Terbaik

13. Lagu Inggeris Tempatan Terbaik

14. Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara

15. Anugerah Kembara

16. Anugerah Sri Wirama

17. Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu

18. Lagu Terbaik

19. Album Terbaik

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan