Jadi Penyibuk Di Dapur Rahsia Fazley Juara MasterChef Selebriti

Diterbitkan: Selasa, 17 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Fazley merangkul gelaran juara program MasterChef Selebriti Malaysia musim pertama. Foto AZHAR MAHFOF.
Fazley merangkul gelaran juara program MasterChef Selebriti Malaysia musim pertama. Foto AZHAR MAHFOF.

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pakar motivasi, Datuk Fazley Yaacob menjelaskan tidak pernah menyangka akan menyandang gelaran juara MasterChef Selebriti Malaysia kerana berasakan dirinya tidak mahir memasak.

Fazley, 33, berkata, pada awalnya beliau hampir menarik diri selepas dimaklumkan namanya disenaraikan sebagai peserta dan bukannya pakar motivasi dalam program itu.

"Saya pada mulanya memang rasa tiada keyakinan untuk memasak kerana jarang ke dapur tetapi apabila mempertimbangkan objektif program ini yang ingin membantu golongan kurang bernasib baik saya terus bersetuju.

"Sejujurnya saya menyertai program ini tanpa banyak ilmu masakan dan semua hidangan yang saya sediakan adalah pertama kali dan Alhamdulillahlah para juri menyukainya," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan episod akhir MasterChef Selebriti Malaysia di sini pada malam Isnin.

Sebelum itu, Fazley muncul sebagai juara program MasterChef Selebriti Malaysia menewaskan Angah (Raja Lawak) menerusi episod terakhir yang disiarkan pada malam Isnin.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu “Asmara Ini” itu menerima wang tunai sebanyak RM57,000 untuk disumbangkan kepada Yayasan Jantung Malaysia yang diwakilinya setelah memberikan persembahan konsisten sepanjang 13 minggu program itu berlangsung.

Selain Fazley, artis lain yang turut menyertai program tersebut ialah Farouk Hussein, Jehan Miskin, Salamiah Hassan, Thanuja, Serina Redzuawan, Siti Sarah, Azwan Ali, Tomok, Raja Azmi, Karl Shafeq, Dr Faiz, dan Louisa Chong.

Dalam pada itu, ditanya mengenai rahsianya dalam menghasilkan masakan yang enak, Fazley memberitahu dia tidak mempunyai sebarang rahsia sebaliknya sering menjadi pemerhati apabila isteri dan ibunya memasak di dapur.

Fazley berkata, walaupun tidak pernah mencuba masakan yang dihasilkan oleh isteri atau ibunya, dia mengingati cara-cara dan bahan yang ingin digunakan untuk memasak sesuatu hidangan itu.

"Saya suka lihat dan mengingati perkara yang saya lihat dan begitu juga masakan. Setiap kali menjadi penyibuk di dapur saya akan memerhatikan bagaimana sesuatu hidangan itu dibuat.

"Alhamdulillahlah saya juga tidak menyangka semua percubaan pertama kali ketika menyediakan hidangan itu memenuhi kehendak juri," katanya.

Bagaimanapun kata Fazley, dia harus berterima kasih kepada barisan juri iaitu Chef Joe, Chef Adu, Chef Zubir serta Chef Mozart daripada Cyberview Lodge sebagai juri jemputan pada episod akhir yang menilai masakannya sehingga diumumkan sebagai juara.

Sementara itu, Fazley berkata, dia terharu apabila peminat mula memanggilnya sebagai chef Fazley dan menganggap penghormatan itu sangat besar buat dirinya.

Fazley memberitahu, dia tidak kisah jika dikenali sebagai chef kerana ia sekali gus dapat mendekatkan dirinya dengan masyarakat dan peminat.

"Program ini benar-benar telah membuka satu dimensi buat diri saya sebagai seorang penyanyi, pakar motivasi dan tukang masak kerana ruang lingkup peminat juga semakin berkembang.

"Jika keluar ke mana-mana pasti ada peminat berbilang bangsa akan menegur bertanyakan tentang masakan dan motivasi. Ia sesuatu yang baru buat diri saya," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Fazley turut mengakui dia kini terpaksa melakukan dua kerja dalam masa sama iaitu diminta untuk menyelitkan demo masakan ketika memberikan ceramah motivasi.

iklan

iklan

Iklan