Raja Ilya Minta Izin Guna Bahasa Kasar

Diterbitkan: Selasa, 10 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)
Raja Ilya teruja dapat berlakon di samping nama-nama besar. Foto MUHAMMAD SYAMIL.
Raja Ilya teruja dapat berlakon di samping nama-nama besar. Foto MUHAMMAD SYAMIL.

PETALING JAYA: Pelakon filem Appalam, Raja Ilya memberitahu akan meminta izin terlebih dahulu daripada pelakon lain untuk menggunakan bahasa kasar sebelum sesutu babak itu dimulakan.

Raja Ilya, 27, berkata, wataknya yang dipegang dalam drama bersiri Mana Hilangnya Juwita sebagai watak antagonis memerlukan dia banyak menggunakan bahasa kasar bagi menghidupkan peranannya itu dan sebagai menghormati pelakon lain dia meminta izin terlebih dahulu.

"Bayangkan dalam drama bersiri ini saya berlakon di samping Datin Umi Aidi, Erra Fazira dan Lisa Surihani dan perkara terakhir yang saya mahu lakukan adalah meluahkan kata-kata kasar kepada mereka.

"Walaupun hanya lakonan tetapi saya rasa adalah lebih baik meminta izin mereka terlebih dahulu," ujarnya kepada mStar Online.

Drama arahan Joeza Rasidi itu telah pun menemui penonton bermula 9 Julai, pukul 10 malam di Astro Ria.

Tambah Raja Ilya, dia bagaimanapun mengagumi sikap dan personaliti tiga bintang besar itu yang cukup profesional dan merendah diri ketika di set penggambaran drama bersiri itu.

Kata Raja Ilya, sebagai pendatang baru, dia berasa sangat selesa dengan layanan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh ketiga-tiga pelakon wanita itu kepadanya.

"Setahun lebih saya menghilang dan apabila dapat kembali dalam industri terus dapat berlakon dengan nama-nama besar dan sudah tentu saya berasa teruja dan bertuah.

"Mereka adalah antara pelakon yang paling profesional yang pernah saya bekerja," katanya.

Dalam pada itu, Raja Ilya memberitahu, dia ingin lebih serius bergelar seorang pelakon selepas hampir setahun setengah berdiam diri akibat foto kontroversinya tersebar.

Raja Ilya berkata, dia telah meninggalkan peristiwa hitam itu dan berazam untuk memajukan diri serta menjadi seorang pelakon yang baik.

"Tiada guna lagi mengenang perkara yang telah berlalu dan adalah lebih baik saya menfokuskan kepada kerjaya saya," katanya.

Sementara itu, pelakon itu berkata, dia juga sudah pun menubuhkan syarikat produksinya sendiri iaitu Universe Star Sdn Bhd dan berhasrat untuk menerbitkan drama dan filem.

Tambahnya, dia juga telah pun menulis sebuah skrip untuk dijadikan filem dan berharap perancangannya itu akan terlaksana dalam masa terdekat.

"Sepanjang setahun setengah saya menghilangkan diri banyak perkara telah saya lakukan dan kini saya ingin memastikan apa yang saya rancang akan terlaksana," ujarnya.

iklan

iklan

Iklan