Ahmad Idham Pelik David Teo Tak Undang Previu '8 Jam'

Diterbitkan: Sabtu, 7 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Filem 8 Jam kini ditayangkan di pawagam bermula Khamis lalu.
Filem 8 Jam kini ditayangkan di pawagam bermula Khamis lalu.

PETALING JAYA: Pengarah filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri berasa pelik dengan tindakan penerbit filem David Teo yang tidak mengadakan sesi previu filem arahannya berjudul 8 Jam bersama pihak media seperti kebiasaan.

Bagaimanapun, ujar Ahmad Idham, dia menghormati keputusan David kerana beliau mempunyai hak untuk mengadakan majlis previu atau sebaliknya kerana karya itu adalah terbitan syarikat produksinya Metrowealth International Group (MIG).

“Saya tidak ada hak untuk persoalkan kenapa dia (David) tidak anjurkan sesi previu 8 Jam bersama media.

“Cuma jika dilihat pada aspek hubungan kemanusiaan, tindakannya itu seolah-olah mahu memadamkan semangat setiakawan dan hubungan sesama penggiat industri perfileman kita yang tidak sebesar mana ini,” katanya ketika ditemui mStar Online.

Ahmad Idham berkata demikian ketika ditemui selepas dia menonton filem itu bersama wakil media di Mutiara Damansara di sini, malam Khamis lalu.

mStar Online difahamkan, MIG turut mengadakan majlis previu filem itu secara tertutup pada malam yang sama dan tidak memaklumkan kepada Ahmad Idham.

Bercakap mengenai dakwaan dipinggirkan daripada majlis terbabit, Ahmad Idham berkata, dia hanya mengetahuinya daripada beberapa pelakon filem tersebut dan media.

“Saya sendiri pun terkejut dan tidak tahu-menahu mereka (penerbit) mengadakan majlis previu 8 Jam pada malam ini yang sama.

" Apabila saya rujuk kepada pihak media, mereka pun tidak dapat undangan. Kalau dah tak jemput buat apa saya ke sana?”

Sementara itu Ahmad Idham berkata, tindakannya menjemput pihak media secara peribadi untuk menonton filem itu adalah inisiatif sendiri bagi mendapatkan respons dan pendapat berhubung karya tersebut.

“Memandangkan pada kali ini penerbit tidak mengadakan majlis pratonton 8 Jam bersama media, saya berasa bertanggungjawab untuk menjemput mereka yang banyak menyokong kerjaya saya untuk sama-sama menonton filem ini,” jelasnya.

Sebelum ini, timbul dakwaan mengatakan Ahmad Idham diketepikan daripada proses pasca-produksi filem 8 Jam ekoran konflik yang tercetus di antara dia dan David.

8 Jam membariskan para pelakon antaranya Shaheizy Sam, Yana Samsudin, Datuk Eizlan Yusuf, Kartina Aziz, Lydiawati, Fimie Don dan Erynne Erynna.

Ia ditayangkan di pawagam bermula Khamis lalu.

iklan

iklan

Iklan