Empat Gitaris Legenda Bergabung Dalam Konsert G4

Diterbitkan: Jumaat, 6 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Man Keedal yakin peminat muzik tanah air akan memberikan sokongan kepada Konsert G4. - Foto SHAHRUL FAZRY ISMAIL
Man Keedal yakin peminat muzik tanah air akan memberikan sokongan kepada Konsert G4. - Foto SHAHRUL FAZRY ISMAIL

PETALING JAYA: Gitaris legenda Man Keedal (gambar) percaya Konsert G4: Petikan Legasi yang menampilkannya bersama gitaris lain iaitu Hillary Ang, Joe (Wings) dan Kid (Search) mampu menarik minat penggemar muzik rock tanah air.

Man atau nama sebenarnya Abdul Rahman Mahmood, 49, berkata, pendedahan yang diterima peminat muzik tempatan hari ini menjadikan mereka bersikap lebih terbuka dalam menghargai muzik serta peranan pemuzik dalam sesebuah kumpulan dan bukan menilai vokalis semata-mata.

"Berdasarkan pengalaman saya selama 35 tahun dalam bidang ini, saya sedar kira-kira 50 peratus peminat muzik mengenali dan menghargai susunan dan komposisi sesebuah muzik.

"Ini kerana saya sering mendapat undangan beraksi solo di acara-acara hiburan dan majlis korporat. Atas sebab itu saya yakin konsert yang mengetengahkan gitaris sahaja mampu menarik minat orang ramai," katanya.

Gitaris kumpulan rock Lefthanded itu ditemui mStar Online pada sidang media konsert berkenaan di Restoran Ecoba, Damansara Perdana di sini, petang Khamis.

Konsert G4: Petikan Legasi akan berlangsung pada 30 September depan pukul 8 malam di KL Live dekat sini.

Man berkata, usaha berterusan perlu dilakukan secara konsisten bagi mendidik masyarakat untuk menghargai muzik sebagaimana diamalkan penduduk di luar negara.

"Masyarakat kita lambat didedahkan dengan ilmu dan peranan sesebuah muzik. Rata-rata peminat kita hanya tahu menghargai penyanyi dan lagu berbanding sesebuah komposisi muzik. Namun, ia semakin berubah apabila sebilangan besar peminat sekarang tahu mengenai selok-belok muzik.

"Sebagai penggiat, kami tidak boleh berhenti untuk mendidik masyarakat menerusi acara-acara persembahan di depan khalayak sekerap yang mungkin dan menghasilkan lagu-lagu instrumental baru untuk mereka kenali dan hargai seperti juga lagu-lagu bervokal," katanya.

Dalam pada itu, wakil penganjurnya Sharifah Murshidah dari RK Polaris berkata, keempat-empat gitaris tersebut menjadi pilihan kerana kredibiliti dan pengalaman mereka dalam bidang muzik.

"Mereka adalah legenda dan memang sejak awal mereka berempat adalah pilihan kami. Tiada lagi gitaris lain di Malaysia sehebat mereka," katanya.

Tiket-tiket berharga RM100 dan RM120 boleh didapati dengan menghubungi talian 019-9412345 (Dino) atau 019-6249443 (Faiz).

Layari laman Facebook dan Twitter "Konsert G4" untuk keterangan lanjut. Konsert berkenaan dianjurkan RK Polaris.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan