Penganjur Bangga Anugerah Profima 2011 Walaupun Hambar

Diterbitkan: Selasa, 3 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Mohd Naguib Razak (kiri) menyampaikan hadiah kepada pengarah filem Kabir Bhatia yang menang besar menerusi enam kategori termasuk filem dan pengarah terbaik pada malam Anugerah Profima 2011 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam Ahad lalu. - Foto SHAARI CHE MAT
Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Mohd Naguib Razak (kiri) menyampaikan hadiah kepada pengarah filem Kabir Bhatia yang menang besar menerusi enam kategori termasuk filem dan pengarah terbaik pada malam Anugerah Profima 2011 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam Ahad lalu. - Foto SHAARI CHE MAT

KUALA LUMPUR: Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) berpuas hati dengan tahap penganjuran Anugerah Profima 2011 yang dilihat meningkat melebihi 50 peratus berbanding penganjuran sebelum ini.

Presidennya, Kapten Khir Mohd Noor atau nama sebenarnya Mohamad Khair Mohd Noor berkata, secara keseluruhannya penganjuran buat kali kesembilan itu dilihat mencapai matlamat dengan beberapa kelemahan minimum.

“Saya bagi pihak Profima berpuas hati dan berbangga dengan kejayaan majlis pada kali ini. Kalau hendak dibandingkan dengan penganjuran pada tahun-tahun yang sudah, Profima 2011 adalah lebih baik dan meningkat lebih 50 peratus kualitinya.

“Saya tidak nafikan masih terdapat banyak kekurangan pada penganjuran acara ini seperti aspek muzik latar yang sepatutnya dimainkan ketika nama pemenang diumumkan. Namun, secara keseluruhan majlis pada tahun ini berjaya,” katanya.

Khir berkata demikian ketika ditemui selepas anugerah itu yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam Ahad lalu.

Mengenai sambutan dingin acara itu di kalangan pekerja filem sendiri sehingga menimbulkan suasana hambar, Khir berkata, aspek kehadiran para tetamu berada di luar kawalannya tetapi ia bukan bermakna mereka tidak menyokong penganjuran majlis berkenaan.

“Saya berani kata semua syarikat produksi memberikan sokongan pada majlis ini kerana mereka membeli meja yang kami jual. Syarikat Opera Klasik milik Rashid Sibir contohnya membeli tiga meja, Enuja Production dengan dua meja dan begitu juga syarikat-syarikat lain.

“Malah, kami berikan meja ekstra kepada mereka yang membeli meja bagi memeriahkan kehadiran pada malam ini tetapi masih banyak meja yang kosong boleh dilihat sepanjang majlis berlangsung.

“Saya percaya perkara ini bukan disengajakan atau pihak produksi memandang remeh pada Profima 2011. Mungkin pada malam ini terdapat acara-acara lain yang berlangsung serentak menyebabkan ramai calon tidak dapat untuk bersama kita,” katanya.

Bercerita lanjut, Khir berkata penganjuran yang menelan kos keseluruhan melebihi RM400,000 berbanding RM280,000 (2011) itu turut memperkenalkan anugerah-anugerah baru seperti Penolong Pengarah, Pembantu Produksi dan Pereka Set Produksi, selain tiga anugerah juri.

“Di sebalik kekangan dana dan kemahiran, kami tetap adakan ia pada skala yang besar di PWTC untuk menunjukkan kemampuan sebuah persatuan seperti Profima mengemudi majlis anugerah.

“Kami mahu meyakinkan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) bahawa malam penghargaan kepada para pekerja produksi juga sama penting seperti anugerah-anugerah lain,” katanya.

Tiga Anugerah Profima 2011 yang julung kali diperkenalkan mengangkat pemilik syarikat pembekal peralatan penggambaran iaitu Link Pew Wah sebagai Anugerah Tokoh Profima 2011.

Penerbit filem Norman Abdul Halim pula menerima Anugerah Tokoh Profima - Filem dan pensyarah perfileman Profesor Dr Abu Hassan Hasbullah (Anugerah Tokoh Profima - Akademik Filem).

Semua pemenang menerima sijil penghargaan dan trofi.

Pelakon Sharifah Shahirah dan Serina Redzuawan bertindak sebagai pengacara majlis yang berlangsung lebih tiga jam itu.

Majlis diserikan dengan persembahan antaranya oleh Zehra Zambri, Keena (Mentor), jurusolek Feri Karisma dan Badan Kebudayaan Tentera Darat Angkatan Tentera Malaysia.

Antara barisan penyampai anugerah termasuklah Zed Zaidi, Tasha Shilla, Rozita Che Wan, Johan As’ari, Nabila Huda, Anzalna dan Jurey Latif.

Turut hadir adalah Ketua Setiausaha KPKK Datuk Sri Kamaruddin Siaraf dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Mohd Naguib Razak.

Senarai pemenang bagi 60 anugerah mengikut kategori masing-masing adalah seperti berikut:

Filem

Sebahagian pemenang daripada 22 kategori yang dipertandingkan:

Filem Terbaik: Nur Kasih The Movie (NKTM) terbitan Primeworks Studios

Pengarah Terbaik: Kabir Bhatia, NKTM (Primeworks Studios)

Sinematografi Terbaik: NKTM (Primeworks Studios)

Penataan Seni Terbaik: Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) (KRU Studios)

Pereka Kostum Terbaik: (HMM) (KRU Studios)

Solekan Terbaik: Songlap (Primeworks Studios)

Solekan Kesan Khas Terbaik: Tolong! Awek Aku Pontianak (Tayangan Unggul)

Penyunting Terbaik: Aku Bukan Tomboy (Skop Production)

Audio Terbaik: (HMM) (KRU Studios)

Kesan Visual Terbaik: (HMM) (KRU Studios)

Filem Pendek

Filem Pendek Terbaik: The Fisherman’s Son (Filmpoint)

Drama Siri

Sebahagian pemenang daripada 12 kategori yang dipertandingkan:

Drama Siri Terbaik: Tahajud Cinta (Rumah Karya Citra)

Pengarah Terbaik: Erma Fatima, Tahajud Cinta (Rumah Karya Citra)

Penata Seni Terbaik: Tahajud Cinta (Rumah Karya Citra)

Solekan Terbaik: Mistik Alam Hitam (Opera Klasik)

Program Televisyen

Program Televisyen Terbaik: Anugerah Juara Lagu ke-26 (Primeworks Studios)

Telefilem

Telefilem Terbaik: Ku Hijrahkan Doa (Enuja)

Pengarah Terbaik: Murali Abdullah, Ku Hijrahkan Doa (Enuja)

Penataan Seni Terbaik: Airmata Nur Salina (Rumah Karya Citra)

Videografi Terbaik: Hijrah Karmila (Indra Che Muda)

Animasi

Animasi Terbaik: Happy Dragon musim kedua

Dokumentari

Dokumentari Terbaik: Komuniti Tanah Kubur (Primeworks Studios)

Pengarah Terbaik: Datin Paduka Shuhaimi Baba, The Windchucker (Pesona Pictures)

Videografi Terbaik: The Windchucker (Pesona Pictures)

Iklan

Iklan Komersial Terbaik: Tourism Malaysia ‘Best Time of Your Life’ (Filmpoint)

Majalah Televisyen

Majalah Televisyen Terbaik: Andai Itu Takdirnya (Explosive Magic)

Produksi Pelbagai Kamera (MCP)

Lima kategori dipertandingkan iaitu Pengarah, Penerbit, Penerbit Teknikal, Pereka Set dan Audio Terbaik dimenangi Anugerah Juara Lagu ke-26 (Primeworks Studios)

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan